SELANGOR

Penggiat SME disaran ‘curi’ peluang pelaburan – MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 OGOS : Penggiat Industri Kecil dan Sederhana (SME) disaran mengambil peluang terlibat dalam bidang pelaburan negeri secara aktif bagi menjana lebihan pendapatan ekonomi secara efektif.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata saranan tersebut dibuat susulan sasaran jumlah pelaburan diumumkan Kerajaan Negeri meningkat untuk 2017.

“Kerajaan Negeri mensasarkan jumlah pelaburan sebanyak RM6 bilion, oleh itu saya menggesa penggiat industri mengambil peluang ini.

“Peluang pelaburan dan teknologi perlu digunakan sebaiknya dengan melaksanakan modenisasi terhadap operasi meningkatkan produktiviti,” katanya.

IMG_20160815_092410-1280x1022Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan meja bulat Belanjawan 2017 bersama tokoh profesional, wakil industri dan pembuat dasar di Shah Alam Convention Centre SACC, di sini.

Sebelum ini, Selangor konsisten mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi terpenting pelaburan negara.

Ia susulan laporan Jabatan Perangkaan bagi tempoh 2010-2014 menunjukkan Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah penyumbang terbesar bagi sektor perkhidmatan di Malaysia dengan jumlah gabungan sebanyak 49.9 peratus.

Sementara itu, statistik dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi 2015 menunjukkan sejumlah 222 projek pelaburan diluluskan.

Ia meletakkan Selangor memperolehi pelaburan RM7.96 bilion berbanding tahun sebelumnya, RM7.04 bilion.

-nR-


Pengarang :