NASIONAL

Prasarana patut bebas dikait parti politik

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 9 OGOS: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) digesa berhenti memberi publisiti percuma kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Negeri (ADN), Hannah Yeoh berkata, agensi kerajaan di bawah Kementerian Kewangan itu sepatutnya bebas daripada dikaitkan dengan mana-mana parti.

Katanya, program Prasarana dibiayai wang rakyat sebagai pembayar cukai dan tidak harus disalah guna dan berbaur politik.

“Prasarana mampu buat sendiri program ini, mengapa mesti dimasukkan sekali nama MCA.

“Jadi, bagaimana Prasarana mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bebas pengaruh dan tangan politik dalam hal lain seperti penganugerahan kontrak,” katanya kepada pemberita.

Menerusi perkongsian atas talian, program Permohonan Kad Diskaun untuk Warga Emas, OKU dan pelajar di Stesen LRT USJ 7 dijadual berlangsung pada 13 dan 14 Ogos ini.

Hannah YeohSelain Prasarana, logo MCA turut kelihatan di bawah kapsyen ‘anjuran bersama’, bersebelahan logo Prasarana.

Hannah berkata, tindakan tidak profesional itu memberikan gambaran salah kepada rakyat.

“Pada hari program nanti, mungkin rakyat akan berfikir yang MCA bantu mereka memudahkan urusan sedangkan bukan itu yang sebenarnya berlaku.

“Agensi kerajaan bukan untuk parti. Sampai bila MCA mahu belajar perkara asas ini,” katanya.

EZY


Pengarang :