Selangorkini
NASIONAL

Ringgit dijangka catat kenaikan minggu depan

KUALA LUMPUR 20 OGOS: Ringgit dijangka terus mencatat kenaikan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di bawah paras 4.0 minggu depan disokong kelemahan mata wang AS, kata penganalisis.

Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran FXTM, Jameel Ahmad, berkata kekurangan keyakinan berterusan dari pasaran berhubung kenaikan kadar faedah AS serta ulasan konsisten Rizab Persekutuan AS mengenai kemungkinan tempoh kenaikan itu, telah mempengaruhi pelabur untuk memilih pasaran pesat membangun.

“Sebarang kelemahan berterusan dolar AS perlu dipantau dan dilihat sebagai peluang untuk ringgit mendapatkan semula momentumnya,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kemungkinan pengambilan untung ke atas saham boleh menjejaskan minat risiko, sekali gus meletakkan paras kelemahan psikologi bagi ringgit/dolar AS pada 4.10.
“Pelabur juga perlu memberi perhatian kepada sebarang penghindaran risiko berulang dalam pasaran, yang menjadi tumpuan saya susulan kenaikan permintaan yen sejak beberapa hari lepas,” katanya.

Jameel berkata permintaan belian yen yang berterusan bagaimanapun tidak disokong oleh keyakinan terhadap ekonomi Jepun, dan dijangka menjejaskan minat risiko dalam pasaran.

Sementara itu, peniaga lain berkata ringgit turut akan disokong oleh jangkaan kenaikan harga minyak mentah minggu depan.

Sepanjang minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS.

Mengikut Jumaat ke Jumaat, nota tempatan meningkat berbanding dolar AS kepada 4.0105/0165 daripada 4.0260/0310 sebelum ini.

Ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang lain kecuali dolar Singapura.

Nota tempatan kukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9776/9834 daripada 2.9898/9939 Jumaat lepas bagaimanapun rendah berbanding yen kepada 4.0017/0093 daripada 3.9393/9454.

Mata wang tempatan lemah berbanding pound kepada 5.2698/2793 daripada 5.2153/2230 pada Jumaat lepas dan susut berbanding euro kepada 4.5375/5455 daripada 4.4882/4946.

EZY


Pengarang :