Selangorkini
Jpeg
SELANGOR

Semangat muhibbah jayakan Hari Kemerdekaan Denai Alam

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 OGOS: Komuniti penduduk daripada pelbagai bangsa bergabung tenaga menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 di Dataran Kelab Rekreasi Denai Alam (DARC), Denai Alam, di sini, hari ini.

Majlis penuh meriah itu mampu memupuk semangat muhibbah dan patriotik antara kaum dengan semua pihak berkaitan memainkan peranan masing-masing bagi menjayakannya.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Muhammad Shakir Ameer Mohideen, berkata program terbabit dijalankan dengan pelbagai aktivti bagi bagi meraikan kemerdekaan negara.

“Ia dijayakan bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.

“Orang ramai memang sukakan aktiviti sebegini dan jika turut serta mengambil bahagian, maka mereka akan teruja dan bersemangat patriotik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, program itu akan diteruskan pada masa akan datang dengan perancangan lebih baik juga pembabitan komuniti lebih besar.

Jpeg

Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari, dimulakan dengan nyanyian Negaraku diikuiti ikrar Rukun Negara, laungan merdeka serta penyerahan panji kepada kontinjen yang mengambil bahagian dalam perarakan.

Acara lain turut dianjurkan seperti persembahan silat, pertandingan mewarna, acara tunggangan kuda, persembahan sajak, kuiz merdeka dan lain-lain.

Program anjuran bersama komuniti penduduk Seksyen U16, MBSA, DARC, Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Zon 22 dan Sime Darby Properties (SDP) itu adalah seiring usaha MBSA melahirkan komuniti mampan dalam projek khas Agenda Tempatan 21 (LA21).

-AA-


Pengarang :