Selangorkini
SELANGOR

SPR digesa tingkat sistem, elak proses bantahan pemilih dicabuli

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OGOS: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa menambah baik proses bantahan pendaftaran pemilih supaya medium itu tidak sewenang-wenangnya disalahgunakan bagi menafikan hak rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihanraya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata tindakan tegas juga perlu diambil SPR terhadap individu yang mengemukakan bantahan itu tetapi enggan hadir Sesi Pendengaran Siasatan Awam.

“SPR harus mengambil tindakan tegas terhadap pembantah yang tidak hadir supaya mereka tidak berhak membantah orang berdaftar dengan SPR pada masa akan datang.” katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Kee Hiong berkata demikian sebagai mengulas tindakan Azman Jaidi sebagai pembantah yang gagal hadir ke Sesi Pendengaran Awam untuk mengemukakan bukti bantahan terhadap 19 orang yang dimasukan ke dalam daftar pemilih tambahan.

lee kee hiong” Azman sepatutnya hadir memberikan bukti kukuh kenapa membantah. Adakah beliau (Azman) membantah secara sewenang-wenangnya dengan tujuan politik bagi menafikan hak mengundi 19 orang itu?

” Saya dapati 19 orang kena bantah adalah penduduk Hulu Selangor. Jelas sekali perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan menyusahkan orang kena bantah,” katanya.

Pada masa yang sama, Kee Hiong mahu SPR mengenakan cagaran wang setiap borang bantahan dikemukakan pembantah supaya proses bantahan pendaftaran pemilih tidak disalahgunakan.

Katanya, hal itu akan mengurangkan kes bantahan sengaja ditimbulkan pembantah sekali gus mengekang perbuatan bantahan tanpa sebarang alasan kukuh.

“SPR harus menyemak alasan bantahan dengan teliti sebelum mengadakan Sesi Pendengaran Siasatan Awam.

“Kebanyakan alasan diberikan pembantah adalah alamat orang yang dibantah diragui tetapi pembantah tidak mengemukakan bukti bagaimana beliau meragui alamat rumah itu,” katanya.

-nR-


Pengarang :