BERITA UTAMA NASIONAL

Cadangan pemaju bagi pinjaman tak selesaikan masalah

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Cadangan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar untuk membenarkan pemaju memberi pinjaman perumahan tidak wajar dan tak akan selesaikan sebarang masalah.

Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abd Aziz berkata, jika pemaju memberi pinjaman dengan kadar faedah 10 hingga 18 peratus, kadar keberhutangan dalam kalangan isi rumah rakyat pasti akan meningkat memandangkan umum mengetahui kadar hutang antara tertinggi di dunia.

“ABIM menilai cadangan ini tidak memberikan sebarang perkembangan positif ke arah penyelesaian holistik kepada isu pemilikan rumah yang sekian lama membelenggu rakyat marhaen.

muhammad_faisal_abd_aziz_abim“Kaedah itu juga tidak akan menyelesaikan masalah lambakan penawaran harga rumah yang terlalu tinggi ketika ini. Ini isu besar yang belum tampak jalan penyelesaiannya sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong mengeluarkan kenyataan sebanyak 18,457 kes kebankrapaan difailkan, pada 2015.

Sehingga akhir tahun lalu, jumlah hutang isi rumah adalah RM1,030 bilion dengan 80 peratus terdiri daripada sistem perbankan dan 20 peratus lagi daripada institusi kewangan bukan bank merangkumi 89.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, 62.6 peratus dilaporkan untuk pengumpulan aset iaitu pembelian harta tanah dan pelaburan dalam aset kewangan.

Faisal berkata, ABIM menegaskan dalam keadaan kenaikan harga rumah serta hartanah yang tidak dibendung itu, tindakan membenarkan pemaju perumahan menawarkan pinjaman pada kadar sebegitu tinggi hanya akan memberikan kesan negatif kepada pendapatan isi rumah rakyat, di samping mengancam kestabilan fiskal ekonomi negara.

Pelancaran-Rumah-Selangorku-di-Setia-City-Convention-Centre-MB-2“Kesan negatif daripada keadaan tersebut akhirnya akan dirasai rakyat yang berhutang untuk jangka masa panjang.

“ABIM mencadangkan kerajaan perlu menawarkan fasiliti atau insentif untuk menampung kemudahan perumahan mampu milik sesuai dengan demografi isi rumah rakyat Malaysia termasuk menyediakan skim tabungan atau khas untuk perumahan bagi membantu rakyat Malaysia menyimpan wang khusus menampung keperluan membeli rumah,” katanya.

Selain itu, kerajaan perlu tegas merangka undang-undang untuk mengawal harga rumah yang ketika ini tampak tidak dikawal.

“Penawaran perumahan melangkaui harga mampu milik serta tidak menepati demografi ekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhan adalah satu bentuk pembanjiran yang sia-sia serta tidak memanfaatkan rakyat.

“Kerajaan juga perlu mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh (stakeholders) berkaitan masalah perumahan mempunyai implikasi secara langsung dengan pelbagai sektor seperti perbankan, pemaju perumahan, kesatuan pekerja serta persatuan pengguna dan masyarakat khususnya,” katanya.

-NFN-


Pengarang :