Selangorkini
SUKANKINI

Cub Prix: Fazli juara di Temerloh

TEMERLOH 27 SEPT: Ahmad Fazli Sham membuktikan dirinya masih berbisa sekalipun merupakan antara pelumba paling senior dalam kategori CP130 apabila meraih kemenangan kedua pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 yang berakhir di Temerloh, Pahang, pada 25 September lalu.

Bermula dari petak ketiga, pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu bermula dengan baik dan berjaya berada di kelompok hadapan dari awal perlumbaan sebelum berjaya menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’22.848s.

Persaingan sengit diantara Md Zaqhwan Zaidi (Givi Yuzy Honda Racing) dan Abd Muhaimin Roslan sehingga berlaku sedikit perlanggaran memberi kelebihan kepada Md Fitri Ashraff Razali (PETRONAS Yamaha CKJ) dan Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) untuk naik ke kedudukan kedua dan ketiga dengan masa 13’24.098s dan 13’24.819s.

“Apabila saya berjaya mendahului perlumbaan, saya hanya memberi sepenuh tumpuan untuk menamatkan perlumbaan tanpa mengetahui apa yang terjadi di belakang.

cp130-action-01“Saya jangkakan yang rakan sepasukan, Muhaimin dan Kasma Daniel Kasmayuddin berada dalam kelompok pelumba belakang, jadi saya hanya memecut untuk memenangi perlumbaan,” jelas Fazli.

Sementara itu nasib malang buat pendahulu keseluruhan kategori CP130, Kasma Daniel apabila terjatuh seawal pusingan pertama perlumbaan.

Meskipun berupaya bangkit meneruskan perlumbaan, Kasma sekadar tamat di kedudukan kelapan, keputusan terburuk yang draih pada musim ini.

Meskipun begitu, pelumba itu masih mendahului senarai keseluruhan dengan 158 mata, 22 mata mendahului Fazli dan perlu memenangi perlumbaan pusingan kesembilan di Jempul untuk dinobatkan selaku juara keseluruhan.

Nasib lebih malang buat pendahulu CP115, Md Akid Aziz (PETRONAS Yamaha Maju Motor) dan Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) apabila gagal mengutip sebarang mata di Temerloh.

Md Akid terjatuh ketika sedang mendahului perlumbaan manakala Tengku Amirul tidak memulakan perlumbaan akibat kecederaan.

Perlumbaan dimenangi oleh Mohd Haziq Mohd Fairues dengan masa keseluruhan 11’20.135s diikuti duo Givi Honda Yuzy Racing), Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Amirul Ariff Musa dengan masa 11’21.131s dan 11’23.419s.

Bagaimanapun, Akid dan Tengku Amirul masih mendahului kedudukan keseluruhan dengan 106 mata dan 100 mata manakala Haziq ketiga dengan 92 mata.

Dalam saingan kategori Wira, pendahulu keseluruhan, Md Shafiq Ezzariq kembali ke podium selaku juara setelah menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa 9’14.382s.

Pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing itu bagaimanapun bersaing sengit bersama Md Helmi Azman (IUGB AFB tech Racing) sebelum pencabarnya itu terjatuh pada pertengahan perlumbaan.

Tempat kedua milik Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport) dengan masa 9’20.547s diikuti Md Amirul Arif Ramlee (PETRONAS Yamaha) ketiga dengan masa 9’26.189s.

Berbaki dua pusingan, Shafiq kini selesa mendahului kedudukan dengan mengumpul 174 mata diikuti Helmi kedua dengan 128 mata. Md Qhuwarismi ketiga dengan 103 mata.

Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 22 dan 23 November.

Keputusan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS:

CP130
1. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 13’22.848s 2. Md Fitri Ashraff Razali (SGR) Yamaha 13’24.098s 3. Norizman Ismail (SGR) Honda 13’24.819s 4. Md Zaqhwan Zaidi (SGR) Honda 13’25.745s 5. Ahmad Afif Amran (TRG) Yamaha 13’31.201s

Kedudukan keseluruhan
1. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) Yamaha 158 mata 2. Ahmad Fazli Sham (PRK) Yamaha 136 mata 3. Norizman Ismail (SGR) 84 mata 4. Ahmad Afif Amran (TRG) Yamaha 74 mata 5. Ahmad Fazrul Sham (PRK) Yamaha 72 mata

CP115
1. Md Haziq Md Fairues (SGR) Yamaha 11’20.135s 2. Azroy Hakeem Anuar (KUL) Honda 11’21.131s 3. Md Amirul Ariff Musa (JHR) 11’23.419s 4. Amirul Hakim Md Rizal (NSN) Honda 11’24.504s 5. Md Syafiq Rosli (PRK) Honda 11’24.865s

Kedudukan keseluruhan
1. Md Akid Aziz (KUL) Yamaha 106 mata 2. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Yamaha 100mata 3. Md Haziq Md Fairues (SGR) Yamaha 92mata 4. Ahmad Syukran Aizat (TRG) Yamaha 83mata 5. Md Harith Farhan Baharin (TRG) Honda 69mata

WIRA
1. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 9’14.382s 2. Md Qhuwarismi Md Nasir (PNG) Yamaha 9’20.547s 3. Md Amirul Arif Ramlee (JHR) Yamaha 9’26.189s 4. Md Aiman Tahiruddin (KUL) Yamaha 9’26.281s 5. Md Danial Syahmi (TRG) Yamaha 9’30.007s

Kedudukan keseluruhan
1. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Honda 174 mata 2. Md Helmi Azman (SGR) Yamaha 128 mata 3. Md Qhuwarismi Md Nasir (PNG) Yamaha 103 mata 4. Md Amirul Arif Ramlee (JHR) Yamaha 87 mata 5. Saiful Azhary Muhamad (JHR) Honda 71 mata

EZY


Pengarang :