NASIONAL

Elaun RM16 sehari kakitangan tentera, pesara tuntut penyelarasan pencen

OLEH ERMIZI MUHAMAD

WANGSA KERAMAT, 8 SEPT : Penyelarasan pencen dan elaun pesara tentera veteran perlu dilaksanakan demi kepentingan dan kebajikan golongan ini.

Bekas Pegawai Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamil, berkata wujudnya ketidakadilan pembayaran skim pencen dan elaun tentera membabitkan golongan itu.

Lebih mengecewakan katanya, ada kalangan tentera menerima pembayaran rendah pada kadar RM16 sehari, walaupun bertugas di luar kawasan.

“Menteri bertanggungjawab didesak mengambil inisiatif untuk mewujudkan penyelarasan seimbang supaya elaun lebih tinggi sekurang-kurangnya RM100 sehari diberikan kepada mereka.

“Adakah berbaloi bagi tentera bertugas mempertaruhkan nyawa mereka mendapat imbuhan RM16 sehari walaupun bertugas di kawasan berbahaya yang jauhnya 100 hingga 200 batu jauh dari tanah besar?” soalnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Perajurit, Wangsa Keramat di sini, malam tadi yang turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdahulu, wujudnya rungutan daripada pesara dan kakitangan tentera yang terpaksa menerima pembayaran elaun rendah, disamping masalah kelewatan pembayaran wang pesaraan.

Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada penyelewengan dana RM288 juta bagi tujuan pemindahan wang kepada 1MDB untuk membayar faedah hutang pinjaman syarikat cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

Mengulas perkara tersebut, Imran yang juga Ahli Parlimen Lumut, berkata perkara tersebut membuktikan ketidaksungguhan Kerajaan Persekutuan terhadap isu kebajikan tentera.

“Kementerian Pertahanan perlu mengambil langkah berkesan supaya penyelarasan boleh dilakukan demi manfaat dan kebajikan kakitangan tentera dan pesara,” katanya.

EZY


Pengarang :