NASIONAL

Fitch Ratings: Pemaju beri pinjaman boleh jejas kekukuhan sistem kewangan

SHAH ALAM 17 SEPT: Agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings mengingatkan sebarang keputusan pemberian lesen pinjaman kepada pemaju hartanah boleh menambah risiko berkaitan peningkatan hutang isi rumah.

Agensi itu dalam satu kenyataan media menyatakan skim itu menggalakkan pinjaman tidak dikawal kepada isi rumah memiliki profil kewangan lemah selain menjejaskan kekukuhan sistem kewangan jika tidak dilaksanakan secara berhemat.

Menurutnya, pemberian pinjaman pemaju juga di luar pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menjadikannya tidak tertakluk kepada tahap pemantauan terperinci, pengurusan risiko dan standard penaja jaminan sepertimana pinjaman oleh institusi perbankan.

Langkah itu juga, tegas Fitch, bertentangan dengan pendekatan diperkenalkan BNM sejak enam tahun lepas bagi mengawal kenaikan hutang isi rumah.

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)Pada Januari 2014, BNM melarang pelaksanaan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) yang membolehkan pembeli rumah mengemukakan sejumlah bayaran pendahuluan dan selebihnya dibayar selepas projek siap yang sebaliknya cenderung menyebabkan spekulasi hartanah.

Bank pusat itu turut memperkenalkan cukai keuntungan hartanah pada 2010 melibatkan hartanah dijual dalam tempoh lima tahun, menaikkan nisbah pinjaman kepada nilai serta mengurangkan tempoh maksimum bagi pajakan kediaman dan pinjaman peribadi.

Pada 8 September lepas, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mengumumkan bahawa pemaju perumahan boleh mengemukakan permohonan kepada kementerian itu bagi lesen pemberi pinjaman wang membabitkan pembiayaan 100 peratus daripada nilai hartanah itu.

“Masih ramai isi rumah yang bergelut untuk melunaskan pinjaman pada kadar faedah tinggi sedemikian.

“Risiko sistemik akibat pelaksanaan skim (pinjaman oleh pemaju) ini akan bergantung kepada kesediaan penyertaan pemaju dan juga pasaran bagi membiayai pemaju. Namun, pemaju besar berkemungkinan lebih berhati-hati,” kata Fitch.

 

EZY


Pengarang :