NASIONAL

Fokus gabung kekuatan politik tewaskan BN

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 SEPT: Semua parti politik digesa membentuk kekuatan dan fokus bagi mengorak langkah bersama menewaskan Barisan Nasional (BN) demi menjana perubahan buat negara.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata meskipun senario politik berubah sejak setahun lalu namun ia menuntut ketenangan semua pihak menyusun langkah strategik dan bijaksana.

“Kita harus fokus untuk membentuk satu kekuatan, dan kita ada contoh jelas di Selangor.

“Selangor inklusif, Selangor peduli dan Selangor menyantuni rakyat. Kita setia kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menyantuni Suara Rakyat, Pimpinan Masyarakat Bersama Dato’ Menteri Besar di Dewan Jubli Perak semalam.

Hadir sama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Pengerusi MPN Selangor, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Selain itu, Setiausaha DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim, Pengerusi Hakam, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor.

Selaku Dato’ Menteri Besar beliau berkata, pertemuan dua negarawan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir yang kembali berjabat tangan selepas 18 tahun membuktikan mereka berjiwa besar.

Katanya suasana itu diperlukan tatkala negara berdepan krisis kepimpinan yang menuntut hala tuju untuk menyelamatkan negara serta memulihkan ekonomi.

EZY


Pengarang :