Selangorkini
SELANGOR

Grand Sepadu bersama masyarakat laksana ibadah korban

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 14 SEPT: Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd menyumbangkan lima lembu korban untuk lima kampung sekitar Jalan Kapar, sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Penolong Pengurus Besar Grand Sepadu, Abdul Razak Hashim, berkata ia merupakan kali kedua dilaksanakan sebagai langkah tanggungjawab sosial koropat (CSR) bagi membantu golongan asnaf dan penduduk.

“Lima kampung dipilih berdekatan dengan lebuh raya ini antaranya Kampung Batu 3, Kampung Batu 4, Kampung Sungai Pinang, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Sementa.

“Kita menjadikan ia sebagai aktiviti tahunan supaya kita dapat meraikan anak-anak yatim, golongan asnaf dan semua penduduk kawasan khususnya.

“Keselurahan sejumlah lima ekor lembu dikorban adalah sebanyak RM26,000,” katanya kepada SelangorKini di Pejabat Urusan Grand Sepadu (NK) Sdn Bhd, Klang, di sini, pagi tadi.

Penduduk kampung turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Grand Sepadu kerana menyumbang daging korban untuk kali kedua.

Ketua Kampung Sungai Pinang, Hamdan Yusof, 55, berkata sumbangan itu secara tidak langsung dalam merapatkan hubungan antara Grand Sepadu dengan penduduk setempat.

“Walaupun kawasan kampung dan lebuh raya berhampiran tetapi kami tidak saling mengenali sebelum ini, diharap kerjasama terjalin menjadi semakin erat dalam usaha melahirkan generasi bersatu-padu dan berakhlak mulia,” katanya.

Ketua Kampung Batu 3, Mohd Darin Samijo, 53, berkata penduduk kampung teruja diatas sumbangan daging korban dari syarikat itu.

“Saya mewakili penduduk kampung mengucapkan ribuan terima kasih kepada syarikat lebuh raya kerana memperuntukkan seekor lembu bagi setiap kampung sempena hari raya Aidiladha tahun ini.

“Diharap program ini terus dilaksanakan ke tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Samsidi Sudri 65, berkata secara tidak langsung pemberian sumbangan itu meringankan beban penduduk kampung khususnya golongan asnaf.

“Kita mengutamakan golongan asnaf lebih memerlukan dalam pengagihan daging korban ini,” katanya.

EZY


Pengarang :