BERITA UTAMA NASIONAL

Hayati nilai pengorbanan dalam perangi rasuah dan kemungkaran

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat untuk menghayati pengertian nilai pengorbanan dalam melawan kemungkaran, penganiayaan dan amalan rasuah yang berleluasa dalam negara.

Katanya, setiap rakyat harus mengambil iktibar kesabaran Nabi Ibrahim dan Ismail bahawa keikhlasan, ketaatan dan kecintaan kepada Allah SWT lebih utama daripada diri sendiri dan anak.

“Erti pengorbanan dalam konteks yang lebih luas adalah kebersamaan kita untuk bangkit menentang kebobrokan, amalan nepotisme serta kronisme dan sekarang ada istilah terkini kleptokrasi. Inilah yang diperjuangkan sekian lama,” katanya dalam perutusan Aidiladha bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

ANWAR-NAJIB-660x471Mereka berkata, Umno hari ini berpecah serta ramai keluar daripada parti itu kerana sudah lari daripada asas perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Kita mesti melawan kemungkaran, penganiayaan dan amalan rasuah yang berleluasa dalam negara.

“Penguasa yang menzalimi rakyat, menindas dengan pelbagai cukai yang tidak munasabah seperti GST, menjarah harta negara menerusi skandal 1MDB yang memalukan negara di mata dunia tidak harus kita diamkan.

“Allah SWT menyuruh kita memperbetulkan kemungkaran dengan tangan, mulut atau sekurang-kurangnya membenci di dalam hati yang merupakan selemah-lemah iman,” kata mereka.

Justeru, sempena dengan Aidiladha ini, Anwar bersama Wan Azizah mengajak rakyat untuk bersama memperjuangkan keadilan.

“Kita mengajak rakyat Malaysia untuk bersama dengan kita, memperjuangkan keadilan dalam erti kata sebenar.

“Kembalikan tampuk politik, perancangan ekonomi dan sistem sosial kita di landasan yang betul untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dalam kalangan berbilang kaum juga agama,” kata mereka.

-NFN-


Pengarang :