Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah 1MDB Johor, Muhyiddin laung Reformasi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PASIR GUDANG, 26 SEPT: Julung kalinya, bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin melaungkan laungan keramat ‘reformasi’ pada Siri Jelajah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di sini, malam tadi.

Laungan keramat itu diungkapkan Muhyiddin tiga kali di awal ucapannya lantas disambut penyokong dan difahamkan ia adalah penampilan pertama Muhyiddin bersama komponen pembangkang mengungkapkan laungan yang cukup sinonim dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Reformasi merujuk kepada tuntutan nilai perubahan yang diungkap Anwar ketika berlakunya krisis kepercayaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pada 1998.

MUHYIDDINKrisis 1998 itu akhirnya membentuk kepada penubuhan Parti KEADILAN Nasional yang ditunjangi Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muhyiddin sebelum ini dipecat daripada Umno selepas lantang mengkiritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal kewangan syarikat milik kerajaan 1MDB.

Susulan itu, beliau bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini dilihat ‘mesra’ bersama komponen pembangkang.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya terus membongkar rahsia penyelewengan kewangan 1MDB apabila hutang syarikat tersebut dialihkan di atas beban rakyat.

“Kementerian tidak lagi menerima peruntukan sewajarnya seperti yang pernah diberikan dulu. Mengambil contoh, Kementerian Kesihatan sudah tidak dapat menampung kos perubatan kerana peruntukan itu telah dipotong.

“Persoalannya, bagaimana 1MDB terus menekan rakyat? Jawapannya, beban 1MDB itu sendiri yang menyebabkan rakyat menderita apabila duit mereka dipotong untuk membayar hutang itu,” katanya.

-NFN-


Pengarang :