Selangorkini
NASIONAL

Keluarga mohon bedah siasat mangsa kes tembakan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 22 SEPT: Inkues dan siasatan menyeluruh membabitkan kes tembakan dilepaskan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pagi ini.

Ia susulan kes kematian Mohamad Shahril Sugumaran Abdullah dan S Uvarajan dalam satu sekatan jalan raya, di Lebuh Raya Selayang-Kepong, pada 19 Ogos lalu.

Peguam, M Visvanathan berkata, permohonan inkues secara serentak melibatkan kedua-dua mangsa dibuat bagi membenarkan proses bedah siasat kali kedua dijalankan.

“Permohonan inkues dibuat terhadap mangsa, Shahril Sugumaran membolehkan supaya kubur mangsa digali untuk kebenaran proses bedah siasat kali kedua.

img_0013“Cara ini sahaja dapat mengenalpasti punca sebenar kes kematian mangsa. Adakah benar mangsa ditembak mati atau dicederakan,” katanya pada sidang media di Pejabat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), hari ini.

Pendengaran lanjutan permohonan inkues akan didengar semula pada 7 Oktober ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sebelum ini, keluarga mangsa mendakwa wujud pertikaian berhubung fizikal mayat kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan selain kesan tembakan.

“Ia sesuatu yang amat mencurigakan apabila bukan hanya kesan tembakan pada mangsa tetapi wujud kecederaan lain pada anggota tubuh badan mangsa. Ini menimbulkan kecurigaan status sebenar kematian kedua-dua mangsa, adakah dakwaan polis itu benar atau sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun, polis mendakwa tembakan dilepaskan selepas kenderaan Proton Waja dipandu mangsa dalam keadaan mencurigakan, sebelum kedua-dua mangsa melepaskan tembakan ke arah polis.

Ketika kejadian, pihak polis menjumpai 11 paket dadah, dua pistol, sembilan telefon bimbit dan dua kad pengenalan yang dipercayai bukan milik mangsa.

Sementara itu, Pengarah Esekutif SUARAM, Sevan Doraisamy mennggesa siasatan menyeluruh dijalankan bagi menuntut keadilan kepada keluarga kedua-dua mangsa.

“Perkara ini tidak boleh dipandang enteng dan perlu disiat dengan telus pada kadar segera agar keadilan dapat diketahui. Jika terdapat bukti kematian kedua-dua kematian berpunca daripada salah guna kuasa polis, perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

-NFN-


Pengarang :