Selangorkini
NASIONAL

LRT laluan Kelana Jaya terkandas lagi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 SEPT: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terkandas kali kedua dalam tempoh seminggu, pagi tadi.

Hal itu menyebabkan warga kota yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja terjejas dan terpaksa berpatah balik.

Pada jam 9.41 pagi tadi, akaun Twitter RapidKL mengumumkan perkhidmatan LRT laluan itu dihentikan apabila bekalan elektrik terputus antara stesen Setiawangsa dan KLCC.

Insiden terbabit menyebabkan segelintir penumpang terpaksa keluar daripada gerabak tren yang terhenti.

Penumpang terpaksa berjalan di sepanjang landasan LRT ke stesen terdekat di tengah hujan, mengikut beberapa coretan media sosial.

Pada jam 10.11 pagi, RapidKL mengumumkan bahawa bekalan elektrik disambung semula selepas semua penumpang berjaya dipindahkan.

Rabu lalu, Rapid Rail Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan LRT dan monorail meminta maaf kepada penumpang yang terpaksa berdepan gangguan dan kelewatan di sepanjang laluan Kelana Jaya itu.

-AA-


Pengarang :