SELANGOR

PKNS bimbing 40,000 usahawan babit kos RM230 juta

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya melahirkan hampir 40,000 usahawan hasil pelbagai program keusahawanan yang dilaksanakan, sejak 20 tahun lalu.

Ia dilaksanakan anak syarikat Kerajaan Negeri itu melalui penubuhan Sekretariat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) pada 1995 serta dijenamakan semula kepada Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) pada 2010 dengan tumpuan terhadap aspek pembudayaan, pembangunan, pemantapan dan jaringan.

Timbalan Pengurus Besarnya, Noraida Mohd Yusof berkata, dalam tempoh itu BPU sudah membimbing sekurang-kurangnya 39,000 usahawan dengan kos hampir RM230 juta daripada pelbagai bidang antaranya pengilang bahan binaan, sub kontraktor bumiputera dan usahawan mahasiswa.

img_20160928_225020_113“PKNS berharap akan dapat terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan usahawan di negari ini, sekali gus menyumbang kepada usaha kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing.

“Kita kena meneruskan program keusahawanan sedia ada dan sentiasa mengenalpasti ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan supaya usaha pembangunan usahawan akan mencapai matlamatnya,” katanya ketika berucap dalam majlis Malam Anugerah Usahawan PKNS ’16, di sini, semalam.

Pada majlis yang pertama kali dianjurkan itu, PKNS meraikan 27 usahawan cemerlang dengan penganugerahan sebagai tanda pengiktirafan mengikut kategori seperti Anugerah Sub Kontraktor Bumiputera Terbaik PKNS, Anugerah Vendor Inkubator Payung Terbaik PKNS, Anugerah Usahawan Mahasiswa Cemerlang, Anugerah Usahawan GROW Cemerlang, Anugerah Inspirasi Usahawan Retail, Anugerah Inspirasi Usahawan Klinik Usahawan dan Anugerah Ikon PROTUNe.

Noraida berkata, strategi PKNS ialah menerapkan nilai keusahawanan menerusi program pendidikan dan pembudayaan keusahawanan, membangunkan sumber manusia usahawan melalui program latihan, rangkaian rakan niaga strategik serta penilaian berterusan.

Katanya, ia juga meningkatkan penyertaan usahawan bumiputera dalam sektor pembinaan melalui galakan perniagaan dan khidmat sokongan serta meningkatkan penyertaan kontraktor juga vendor bumiputera dalam pembangunan dilaksanakan.

-NFN-


Pengarang :