Selangorkini
SELANGOR

SPR keluarkan 4 daerah mengundi dikuasai KEADILAN di Pelabuhan Klang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 29 SEPT: Empat daerah mengundi yang dikuasai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu dikeluarkan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Azmizam Zaman Huri berkata, keadaan ini membuktikan langkah persempadanan semula itu diadakan bagi membantu Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya akan datang.

“Semua kawasan daerah mengundi ini adalah kawasan yang telah memenangkan calon KEADILAN di DUN Pelabuhan Klang pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu,” katanya.

Azmizam yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat (MPP) berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Pelabuhan Klang di Taman Pandamaran di sini, semalam.

20160928_142932Jelasnya, daerah mengundi terbabit adalah Sungai Alur yang dimenangi KEADILAN dengan majoriti 1,404 undi atau 76 peratus, Bandar Bukit Tinggi 1 dan 2 serta sebahagian Bandar Botani dengan majoriti 3,047 atau 75 peratus pada PRU-13 lalu.

Katanya, seramai 2,267 pengundi di kawasan lokaliti Pendamar Indah yang sebelum ini terletak dalam daerah mengundi Seri Pendamar telah dipindahkan ke dalam Daerah Mengundi Bandar Botanic sebelum dikeluarkan secara menyeluruh daripada DUN Pelabuhan Klang.

Azmizam menjelaskan kawasan terbabit juga merupakan kawasan dimenangi KEADILAN dengan majoriti 363 undi.

“Kesimpulannya, Syor Cadangan Kajian Persempadanan Semula Kawasan Pilhan Raya yang sedang dipamerkan SPR ini secara terang dan nyata berniat jahat.

“Daerah mengundi yang memenangkan calon BN dikekalkan di dalam Pelabuhan Klang, manakala kawasan yang memenangkan KEADILAN telah dikeluarkan daripada kawasan DUN Pelabuhan Klang,” katanya lagi.

-nR-


Pengarang :