SELANGOR

Tradisi DUN Batu Tiga, dedah makna ‘qurban’ golongan muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU TIGA, 12 SEPT : Tradisi Qurban DUN Batu Tiga dilaksanakan sebagai inisiatif menyingkap pengorbanan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Bukan sekadar itu, Ahli Dewan Negeri (ADN), Rodziah Ismail berkata, masyarakat khususnya golongan muda perlu diberi pemahaman meliputi aspek ibadat korban dalam Islam itu sendiri.

“Isu berkaitan ibadah biasanya melibatkan golongan atau warga emas sahaja. Atas sebab itu penglibatan golongan muda amat diperlukan menerusi program sebegini.

image-1“Pemahaman sejak daripada kecil perlu didedahkan seawal mungkin agar generasi muda dapat menyambung tradisi yang kita laksanakan sejak dulu.

“Keutamaanya generasi baru perlu dididik daripada awal supaya proses ini menjadi tauladan terbaik kepada mereka pada masa depan,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Qurban DUN Batu Tiga di kawasan letak kereta Apartment Fasa II Seksyen 17, di sini hari ini..

Pada majlis itu, enam lembu dikorbankan dengan empat daripada hasil sumbangan pusat khidmat DUN Batu Tiga.

“Ini tahun kelima sepanjang hampir sembilan tahun saya menjadi wakil rakyat di sini, kalau kita lihat sekarang sambutannya cukup baik. Program tradisi ini diteruskan di kawasan perumahan ini, di samping diadakan juga di masjid seluruh Dun Batu Tiga.

“Pendekatan ini diambil sebagai galakan kepada masyarakat supaya mengambil bahagian secara meluas demi manfaat kita bersama,” katanya.

Sementara itu, hasil korban diagihkan mengikut beberapa bahagian kepada golongan fakir, asnaf, anak-anak yatim sekitar DUN itu.

-NFN-


Pengarang :