SELANGOR

Tradisi jelajah seluruh negeri, fokus kebajikan rakyat – MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 2 SEPT: Program berkebajikan dan insentif berterusan akan dilaksanakan ke seluruh negeri seiring hasrat kerajaan negeri menjadikan Selangor sebagai negeri berkebajikan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata gerak kerja pemantauan di seluruh daerah giat dilaksanakan bagi pelaksanaan program berkebajikan seluruh negeri.

“Kita akan ke seluruh daerah kerana memang itu tradisi yang telah kita laksanakan sejak dua tahun ini.

“Untuk tempoh ini, kita telah meneliti beberapa proses permohonan dan perancangan disusun pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah.

“Jadi kita akan turun padang untuk bantu rakyat menerusi pengumuman dan proses kelulusan serta insentif jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.

DSC_1068 penyampaian sumbanganBeliau menjawab pertanyaan pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Dataran Niaga Bagan Terap dan penyampaian bantuan di bawah Kerajaan Negeri Selangor di sini, pagi ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Zaidy Abd Talib, Dr Daroyah Alwi dan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Selain itu, ADN Meru, Dr Abdul Rani Osman; ADN Sabak, Sallehin Mukhyi; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya juga turut hadir pagi ini.

Siri lanjutan jelajah turun padang Mohamed Azmin akan diteruskan ke Sepang, minggu depan.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Menteri Besar optimis Dataran Niaga Bagan Terap mampu melonjakkan lagi peluang ekonomi peniaga sekitar.

Beliau berkata, fungsinya sekali gus diharap mampu menjana kepada pertumbuhan ekonomi mampan golongan petani meningkatkan hasil jualan tani di Badan Terap.

“Jika dulu peniaga di sini hanya menjalankan urusan perniagaan mereka sekali seminggu sahaja.

“Namun, dengan adanya dataran niaga baru ini, mereka boleh menjalankan kegiatan perniagaan secara efektif dan berterusan di sini,” katanya.

-nR-


Pengarang :