BERITA UTAMA SELANGOR

414 pusat pemindahan dibuka sedia hadapi gelombang air pasang besar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 OKT : 414 pusat pemindahan banjir seluruh negeri dibuka secara 24 jam bagi menempatkan mangsa fenomena air pasang besar di kawasan terlibat.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata kesemua aset dan kelengkapan penyelamat juga dipersiapkan sebagai langkah awal berjaga-jaga.

“Pusat pemindahan mula dibuka sejak September lalu dan mula beroperasi seawal jam 2 petang diketuai pegawai-pegawai daerah di kawasan terlibat.

“Untuk tempoh ini juga pelbagai usaha dilaksanakan bagi mengenalpasti pusat pemindahan sesuai dan lokasi selamat untuk diletakkan aset mencari dan menyelamat mangsa,”katanya.

Dalam perkembangan itu katanya, anggaran mangsa yang bakal dipindahkan susulan fenomen kedua ini dijangka lebih besar berdasarkan faktor peningkatan paras laut, mencecah 5.7 meter.

“Fenomena air pasang besar pada prasa 5.6 meter pada September lalu menyaksikan hampir 20 keluarga dengan jumlah lebih 200 mangsa dipindahkan.

“Namun untuk fenomena kali kedua ini, kebarangkalian jumlah (mangsa) yang akan dipindahan lebih ramai daripada itu berbanding September lalu.

“Tetapi kita masih lagi dalam usaha untuk membanci kawasan terjejas dan memerlukan pemindahan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Sebelum ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataannya mengesahkan fenomena air pasang besar kali kedua bakal berlaku 16 hingga 21 Oktober ini.

Antara kawasan terlibat di daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Kenyataan tersebut juga menasihatkan agar penduduk di kawasan berisiko tinggi dapat memathui arahan Pihak Berkuasa Keselamatan dan mengambil langkah persediaan, mendaftar dan berpindah ke pusat pemindahan.

EZY


Pengarang :