Selangorkini
SELANGOR

KDEB: 60 lori urus sampah lebih sistematik

OLEH SYASYA SUFIAN

KLANG, 8 OKT: Sebanyak RM23 juta diperuntukkan Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) untuk 60 lori sampah baru bagi kawasan seliaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi menguruskan kutipan sisa pepejal dengan lebih sistematik.

Pengurus Besar KDEB, Ramli Mohd Tahir, berkata penyerahan lori diberikan secara berperingkat kepada 60 subkontraktor dilantik.

“Kita menyerahkan lapan lori terlebih dahulu supaya kerja menguruskan pungutan sisa pepejal dalam dijalankan dengan lebih cepat.

“Selebihnya, kita serahkan secara berperingkat dalam masa seminggu ini sebelum 15 Oktober. Manakala pada 13 Oktober ini berlangsung majlis serahan secara rasmi bakal dihadiri Yang Dipertua MPK, Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Ahli-Ahli Majlis,” katanya kepada SelangorKini.

Seramai lapan subkontraktor sampah menerima lapan lori antaranya daripada syarikat Kempas Jaya, Jaico, Keramat Permai, Merah Saga, Aiman Platinum, STK Elektrical, Hasrat WAjar dan Yaacob Saleh.

Majlis penyerahan kunci disampaikan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran, Dawari Daud di depoh MPK, di sini, hari ini.

img_2929Ramli berkata, tujuan utama pembelian lori baru tersebut untuk memudahkan pengurusan kutipan sampah dengan dilengkapi sistem ‘GPS tracker’ selari dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah Smart Selangor.

“Selepas KDEB ambil alih pengurusan sampah domestik diselian MPK, kita janji pada MPK melabur pada pembelian lori baru sebanyak 60 biji kerana lori sampah lama yang terdapat di Klang menghadapi pelbagai masalah seperti kerosakan enjin, kapasiti yang tidak berapa bagus berlaku dan sebagainya.

“Dengan adanya lori baru ini, kos penyelenggaraan dapat dikurangkan dan jangka masa penggunaannya lebih panjang. Selain itu, lori ini juga dinaik taraf dengan kamera undur dan sistem ‘tracker’ supaya mudah KDEB pantau pergerakan lori tersebut,” katanya.

Tambahnya, KDEB juga mengarahkan seramai 25 anggotanya membuat pantauan di kawasan Klang bagi memastikan subkontraktor dilantik menjalankan tugas mengikut jadual.

Ia bagi mengelak dan mengenal pasti sebarang aduan dibuat rakyat adalah benar ataupun palsu.

EZY


Pengarang :