KENYATAAN MEDIA

Loji Rawatan Air Langat dan Cheras ditutup

OLEH: ELIZABETH WONG

SHAH ALAM 8 OKT: Loji Rawatan Air Langat dan Cheras telah masing-masing ditutup pada 8.30 malam dan 10 malam akibat pencemaran bau yang disyaki berpunca daripada Sungai Semantan di Pahang.

Portal aliran masuk Sungai Serai, yang menerima air daripada terowong khas daripada Sungai Semantan, Pahang telah dikesan bau luar biasa pada jam 7.30 petang, Jumaat, 7 Oktober 2016.

Badan Kawal Selia Air Pahang telah dihubungi untuk memaklumkan pencemaran ini kepada Jabatan Alam Sekitar Pahang. Di samping itu, petugas sungai Air Selangor berada di Pahang untuk membantu Badan Kawal Selia Air Pahang dan Jabatan Alam Sekitar mengesan punca pencemaran bau. Pada masa yang sama, air daripada Empangan Sungai Langat telah dilepaskan pada 9.45 malam sebagai usaha untuk menangani pencemaran bau air mentah.

Beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan sebahagian daerah Petaling serta Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air.

Bantuan bekalan air akan dihantar dengan lori tangki ke kawasan terlibat dan premis kritikal, seperti hospital dan pusat dialisis.

Untuk mengelakkan kesesakan di pusat panggilan pelanggan SYABAS, pengguna dinasihati memuat turunkan “mySYABAS” aplikasi telefon pintar atau melayari www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut. Sila hantar alamat premis ke SMS 15300, jika perlu bantuan bekalan air.

NOTA: Elizabeth Wong adalah Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Kerajaan Negeri Selangor


Pengarang :