Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

LUAS pam keluar air tercemar di Sungai Buah

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 24 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertindak mengepam keluar air dari Sungai Buah yang dikenal pasti tercemar bagi mengelakkan ia terus terjejas dan masuk ke Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

Pemangku Pengarah LUAS, Nor Zamri Sonor berkata, langkah itu diambil supaya LRA Sungai Semenyih dapat kembali beroperasi dan menyalurkan air segera buat 1.8 juta pengguna di kawasan Daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

“Kerja pembersihan sudah dilakukan sejak semalam bagi membuang bau dan ia akan diteruskan sehingga air dapat dialirkan semula ke Sungai Semenyih,” katanya.

whatsapp-image-2016-10-24-at-10-41-32Menurut beliau, kerja itu sudah dimulakan sejak semalam dengan membina tembok penghadang air mengunakan guni pasir.

Selain itu, kerja pembersihan LRA Sungai Semenyih turut dilakukan pagi ini sebelum pengagihan dilakukan seperti biasa dengan kadar segera.

Katanya, siasatan sudah dilakukan sejak semalam dan menemui punca pencemaran di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) Nilai dan Memorial Nilai.

Semakan turut mendapati bacaan pencemaran sekitar 22 ton selain menemui beberapa kesan pencemaran di kilometer 46 Lebuhraya Elite.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat bagi menyiasat lebih terperinci punca pencemaran sama ada terdapat unsur sabotaj atau kemalangan.

Pihaknya turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Konsortium Indah Water yang menghantar lori tanngki untuk membawa keluar sisa air dan dilepaskan semula ke sungai di Bukit Tampoi.

-NFN-


Pengarang :