BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Doakan Red Giants julang Piala Malaysia buat kali ke-34

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 28 OKT: Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berharap Selangor mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan akhir TM Piala Malaysia bertemu Kedah, Ahad ini.

Beliau berkata semangat berpasukan akan menjadi faktor utama dalam usaha merealisasikan misi menjulang kejuaraan buat kali ke-34.

“Saya mendoakan pasukan Selangor dapat terus mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia.

“Saya melihat sendiri mereka menjalani latihan dan minggu lalu saya bertemu dengan Ketua Pasukan (Mohd Shahrom Kalam).

paiala-malaysia-misi-33“Beliau memberikan jaminan bahawa mereka akan fokus dengan permainan di padang Ahad ini dan Insya-Allah dengan pengalaman serta latihan Selangor mampu mengekalkan kejuaraan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai imbuhan jika The Red Giants berjaya menjulang Piala Malaysia buat kali-34, Mohamed Azmin enggan mengulas panjang, namun menegaskan Kerajaan Negeri menghargai semua pihak yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang.

Mohamed Azmin berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi Selangor musim ini tambahan berjaya menjulang trofi berpestij itu buat kali ke-33 tahun lepas setelah menanti sejak sekian lama.

Selangor dan Kedah akan membuat perhitungan akhir buat musim kedua berturut-turut dalam pentas akhir TM Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Pada perlawanan akhir musim lalu, The Red Giants menjinakkan Helang Merah 2-0 hasil dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri.

-nR-


Pengarang :