SELANGOR

Peka keselamatan kanak-kanak

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 OKT: Peranan lebih proaktif dalam menjaga keselamatan kanak-kanak sama ada anak sendiri atau bukan menjadi intipati penting dalam Seminar Hak dan Keselamatan Kanak-Kanak Negeri Selangor 2016, pada 15 Oktober lalu.

Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 17, Khairul Anwar Yaakob berkata, program itu memberi kesedaran kepada pengusaha taska, ibu bapa dan guru tentang Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara iaitu meningkatkan kesedaran terhadap usaha melindungi kanak-kanak.

“Ini adalah tanggungjawab bersama kerana tugas mendidik dan memantau tidak semestinya terletak pada guru. Kita sebagai ibu bapa, jiran dan pemimpin juga perlu bertanggungjawab atau lebih peka dengan kanak-kanak di sekeliling terutama sekarang apabila banyak melaporkan kes jenayah serta dera.

160816 tunas-02“Program ini juga bagus diadakan dari masa ke masa sebagai langkah advokasi dan kesedaran awam yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat,” katanya yang juga Pengerusi JMB Pangsapuri Daisy.

Guru taska, Hazlinawati Che Zamani, 32, berkata pendedahan yang diberi penceramah Penganalisis Jenayah Malaysia, Kamal Affandi Hashim banyak yang boleh dimanfaat beliau sebagai guru di Taska Anak Bestari Seksyen 7, di sini.

“Hubungan antara guru dan ibu bapa sebenarnya penting selain perlu diterapkan supaya anak dapat membesar dengan baik, bahkan keselamatan mereka juga terjamin apabila guru juga ibu bapa bekerjasama dalam memantau mereka.

“Selain itu, aspek keselamatan seperti pemasangan kamera litar (CCTV) adalah sesuatu yang wajib ada di setiap taska. Ia memudahkan pengurusan taska itu sendiri untuk mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, guru taska, Siti Khodijah Elias, 29, berkata beliau mencadangkan program itu diteruskan dengan mengadakan aktiviti luar dan lebih praktikal.

“Patut diadakan lagi seminar seperti ini tetapi dengan cara praktikal atau lawatan bersama guru, pelajar serta ibu bapa tentang bagaimana menjaga keselamatan anak ketika di luar rumah,” katanya.

-NFN-


Pengarang :