SELANGOR

Penyelia PWB komited jayakan program bantu wanita

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OKT: Tanggungjawab menggalas jawatan Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi tempoh dua tahun bukan sesuatu yang harus dipandang enteng.

Bagi Surinah Parman, beliau perlu bijak menggunakan peruntukan RM30,000 dan memastikan setiap program memberi manfaat kepada wanita di kawasannya.

“Kita bukan terima elaun bulat-bulat tetapi perlu memastikan apa yang kita laksanakan mencapai objektif digariskan PWB.

“Bagi saya, kepuasan hanya tercapai apabila program dijalankan dapat membantu wanita menambah pendapatan keluarga,” kata Penyelia PWB Sementa itu kepada SelangorKini.

Beliau adalah salah seorang daripada 56 penerima Watikah Penyelia PWB bagi sesi 2016-2018, semalam.

Berkongsi pandangan sama, A. Vijayaramy berkata, program PWB kian mendapat tempat dalam kalangan wanita tempatan.

img_5262“Ada masanya kita menerima penyertaan hampir 100 peserta dalam satu-satu program, menunjukkan PWB menerima sambutan.

“Namun, saya yakin pendedahan berterusan perlu dilaksanakan untuk memantapkan lagi jenama PWB di Selangor,” katanya yang menyelia kawasan Sungai Pelek.

Sementara itu, Priscilla Hen berharap peruntukan PWB dapat ditambah selaras dengan kos yang semakin meningkat.

“Harga barangan kini naik ditambah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Kita juga perlu menampung kos tenaga pengajar bagi setiap program dijalankan,” kata Penyelia PWB Seri Kembangan itu.

-AA-


Pengarang :