Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Percepatkan hospital baru Tanjong Karang, elak tragedi HSA berulang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 OKT: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar digesa mengotakan janji mempercepatkan pembinaan hospital baru di Tanjong Karang bagi memastikan kejadian hospital terbakar di Johor Bahru tidak berulang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, hospital sedia ada di Tanjong Karang itu sudah lama serta berada dalam keadaan uzur dan kurang kelengkapan.

Katanya, hospital yang mula beroperasi pada 1966 itu sudah tidak mampu menampung kepadatan pesakit pada masa kini ekoran pertambahan penduduk saban tahun.

“Harap Noh Omar maklum tentang berita mendukacitakan dari Selatan semalam dan ambil iktibar serta cepat-cepatlah tunaikan janji.

“Kata hebat sangat, jadi apalagi yang ditunggu.

“Selagi tak ditunaikan, Noh tak layak bercakap pasal Selangor (Kerajaan Negeri),” katanya kepada SelangorKini.

cvk-dt5ueaavrckSemalam, enam pesakit maut dalam kejadian kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang dibina pada 1882.

Suee Lim berkata, tindakan Noh yang sering berdolak dalih memberi petanda seolah hospital berkenaan lama lagi akan dibina.

“Dulu masalah teknikal, sekarang pun masalah teknikal, tiada alasan munasabah lainkah?

“Saya cuma mahu berpesan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” kata Suee Lim.

Pada 18 Februari 2013, iaitu tiga bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), Noh mengumumkan Hospital Kedua Tanjong Karang bakal dibina di Sungai Terap, Kuala Selangor di atas tanah seluas 16 hektar.

Semalam, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kelewatan pembinaan hospital berharga RM269 juta itu disebabkan masalah teknikal antara pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu juga berkata kerajaan terpaksa menambah peruntukan RM19 juta lagi kepada pembinaan hospital itu yang pada awalnya dianggar RM250 juta.

EZY


Pengarang :