Selangorkini
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor meningkat RM20 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Perbelanjaan bagi tujuan penyediaan perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor ditambah RM10 juta kepada RM20 juta untuk tahun 2017.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peningkatan tersebut dibuat susulan penambahan laluan baru melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

“Kerajaan Negeri gembira dapat menyediakan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor yang terbaik kepada rakyat. Sejak dilancarkan pada tahun 2015, perkhidmatan ini telah beroperasi di 11 PBT dengan pencapaian bilangan pengguna sehingga 31 Ogos lalu sebanyak 2.8 juta penumpang.

bas-smart“Inisiatif yang dimulakan dengan peruntukan RM3.5 juta pada tahun 2015 ditingkatkan kepada RM10 juta tahun ini. Perkhidmatan ini bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat dan mampu mengurangkan pelepasan karbon.

“Bagi memenuhi permintaan pengguna pengangkutan awam, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor ditambah daripada RM10 juta kepada RM20 juta bagi tahun 2017,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sebelum ini, pelaksanaan inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor terus memberikan impak positif kepada rakyat Selangor berkait sistem perkhidmatan awam yang lebih dominan dan selesa.

Pelaksanaannya membuahkan hasil dengan lebih 911,969 penumpang menggunakan perkhidmatan tersebut di seluruh negeri sejak dilancarkan.

Mohamed Azmin berkata, keberkesanan perkhidmatan Bas Smart Selangor diwujudkan bertujuan mengurangkan penggunaan pengangkutan persendirian sebagai langkah pengurangan karbon dan menuju ke arah ‘Negeri Hijau’.

Kemudahan itu, sekali gus menawarkan pilihan yang lebih terbuka kepada orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan awam selain kemudahan sedia ada contohnya transit aliran ringan (LRT) , komuter, monorel dan teksi sebagai kaedah mengurangkan kesesakan lalu lintas.

-NFN-


Pengarang :