BERITA UTAMA SELANGOR

RM4.3 juta tambah baik ban hadapi air pasang besar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 OKT : RM4.3 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri sebagai inisiatif persiapan awal menghadapi fenomena air pasang besar, 15 Oktober ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Ahmad Afandi Mohammad berkata, peruntukan tersebut merangkumi kerja penambahan benteng di persisiran pantai negeri.

“Ban (benteng) yang pecah ketika fenomena air pasang besar berlaku September lalu telah kita perbaiki menerusi peruntukan dikeluarkan Kerajaan Negeri.

“Namun, kita tidak boleh mengambil risiko mudah atas faktor ketinggi air pasang yang mencecah sehingga 5.7 meter.

“Bagaimanapun, kami telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kebarangkalian berlakunya fenomena itu nanti,” katanya.

unnamedBeliau bercakap pada sidang media di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini petang ini.

Hadir sama, Sekretarian Pengurusan Bencana Negeri, Ahmad Fairuz Mohd Yusof dan Pegawai Jabatan Ketenteraman Awam IPK Selangor, ASP Roslee Daie.

Fenomena air laut pasang besar diramalkan berlaku 15 sehingga 19 Oktober ini di persisirian pantai negeri melibatkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Dalam perkembangan itu, Afandi berkata, semua agensi penguatkuasaan dan keselamatan negeri juga telah bersiap sedia menunggu arahan selanjutnya untuk sebarang tindakan.

Pada masa sama katanya, penduduk berisiko juga dinasihatkan bersiap sedia berpindah di pusat perpindahan seluruh daerah yang akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh fenomena berlaku.

“Melalui pejabat daerah kita menasihatkan supaya masyarakat yang duduk berdekatan kawasan persisiran pantai untuk berpindah lebih awal kerana dijangka air pasang besar akan berlaku seawal jam 6 pagi,” katanya.

-nR-


Pengarang :