Selangorkini
SELANGOR

SELCAT: Tiada keperluan pendengaran awam isu Paya Indah Wetland

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 OKT: Dakwaan mengenai status tanah di satu kawasan dalam daerah Kuala Langat sebagai kawasan pewartaan Paya Indah Wetland adalah tidak benar.

Hasil siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) mendapati dakwaan terbabit tidak berasas dan ia merujuk kawasan lain dalam daerah sama.

Pengerusinya, Hannah Yeoh berkata, berdasarkan fakta yang dinyatakan itu, sebulat suara ahli jawatankuasa memutuskan tiadanya keperluan untuk SELCAT mengadakan pendengaran terbuka mengenai isu ini.

“Pada 11 Oktober lalu, SELCAT mendapatkan penerangan dan taklimat berhubung isu ini daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

cp2a8422“Melalui taklimat ini, Lot 68054 disahkan tidak termasuk dalam kawasan pewartaan Paya Indah Wetland seperti didakwa manakala kawasan diwartakan hanyalah Lot 3974 (389.91 hektar) dan Lot 4827 (60.85 hektar),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Lot 68054 asalnya adalah tanah milik Kerajaan Negeri, namun pada 1994 ketika di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) memindah miliknya kepada tanah milik persendirian.

Manakala, pada 1996, katanya, Kerajaan Negeri turut memberi kelulusan meminda syarat nyata dan jenis kegunaan tanah kepada bangunan perumahan/perusahaan ringan.

Sementara, pada 2004, kelulusan bersyarat diberikan (conditional approval) untuk menukar status tanah lot berkenaan daripada pertanian kepada pembangunan bercampur.

Bagaimanapun, Hannah menjelaskan penukaran status itu tidak berlaku kerana pemilik tidak menjelaskan bayaran premium.

“Pada 2014, Salak Land Development Sdn Bhd telah membuat permohonan sekali lagi bagi menukar syarat tanah daripada pertanian kepada bangunan kediaman tetapi ditolak kerana tidak selaras dengan Rancangan Tempatan 2020.

Paya Indah“Yang Dipertua MDKL telah diminta untuk mengkaji semula Penggubahan Guna Tanah Rancangan Tempatan tersebut.

“Pemilik tanah membuat permohonan mengubah (rezoning) Rancangan Tempatan Kuala Langat (RTKL) 2020 bagi Lot 68054 dan MDKL serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor mengesahkan bahawa pengubahan ini dilakukan mengikut proses diperuntukkan,” katanya.

Seterusnya, beliau menambah, pada awal tahun lalu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) meluluskan permohonan mengubah jenis kegunaan tanah Lot 68054 kepada bangunan kediaman seperti syor PTG Selangor dan turut mensyaratkan bahawa pemilik tanah perlu memenuhi syarat ditetapkan Jawatankuasa Sensitif Alam Sekitar.

Katanya, SELCAT juga dimaklumkan bahawa penjelasan awam mengenainya telah dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong manakala aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat pihak lain berhubung isu berkenaan.


Pengarang :