Selangorkini
NASIONAL

Shafie: WARISAN sedia kerjasama, fokus tumbang Umno-BN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Parti Warisan Sabah (WARISAN) terbuka untuk menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang bagi tujuan menumbangkan Umno Barisan Nasional, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusinya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, walaupun belum ada sebarang cadangan mengenai pembentukan bersama gabungan pembangkang, namun parti itu optimis untuk terus memecahkan penguasaan Umno-BN.

“Kita akan melihat sebarang bentuk kerjasama. Namun, fokus kita ingin menumbangkan Umno-BN kerana sesiapa sahaja yang mempunyai hasrat sama, mengapa tidak?” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

shafieTerdahulu, beliau diminta mengulas sebarang ruang kerjasama antara WARISAN dan parti pembangkang khususnya di Semenanjung dan Sabah.

Pagi ini, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan Shafie untuk meminda nama Parti Pembangunan Warisan Sabah (PPWS) kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Proses tersebut dibuat sebagai usaha bekas pemimpin Umno itu untuk mengambilalih dan membangunkan semula parti berkenaan.

Shafie sebelum ini digantung keahliannya dalam Umno selepas lantang mengkritik pentadbiran Presidennya, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal dan penyelewengan 1MDB.

Bagaimanapun, Shafie kemudiannya mengumumkan bahawa beliau keluar daripada Umno dan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Umno Semporna Sabah.

Shafie sebelum ini dikenali antara pemimpin Umno Sabah paling berpengaruh dan sinonim dalam kalangan warga Sabah.

-NFN-


Pengarang :