Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Tangkap tikus dapat duit

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OKT: Penduduk Shah Alam berpeluang menerima ganjaran RM3 bagi seekor tikus ditangkap sama ada hidup atau mati.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, ia bersempena kempen ‘Satu Tikus Tiga Ringgit’ yang bermula dari 10 Oktober hingga 7 November ini.

“Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti setempat terhadap kepentingan mengamalkan kebersihan.

“Ia juga salah satu langkah mewujudkan persekitaran bersih serta memupuk sikap lebih bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat khususnya peniaga,” katanya dalam kenyataan.

Kaunter penyerahan tikus disediakan di tingkat bawah Plaza Sri Muda Seksyen 25 dan dibuka setiap Isnin hingga Jumaat sepanjang Oktober dari jam 2.30 petang sehingga 4.30 petang.

Kempen ‘Satu Tikus Tiga Ringgit’ dijalankan sebanyak tiga kali iaitu pada April, Ogos dan Oktober.

Shahrin berkata, peniaga atau pemilik gerai boleh menuntut ganjaran menangkap tikus di kaunter berkenaan.

“Orang ramai juga boleh mengambil peluang ini untuk bersama-sama membantu mengurangkan populasi tikus di kawasan masing-masing,” katanya.

-AA-


Pengarang :