Selangorkini
SELANGOR

15 premis diperiksa MPS, langsai tunggakan cukai taksiran

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 13 NOV: Sebanyak 15 pemilik harta perniagaan diperiksa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam Operasi Sitaan Cukai Taksiran bagi penggal kedua 2016 pada 9 November lalu.

Pengarah Kewangan MPS, Azhar Samsuri, berkata operasi dianggotai 15 penguat kuasa MPS itu turut melibatkan dua lokasi iaitu di 62 Residency dan Bandar Baru Selayang.

“Operasi tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada pemilik harta terhadap kepentingan dan tanggungjawab menjelaskan cukai taksiran.

“Di Prima Selayang, kita merampas peralatan di sebuah bengkel kereta yang mempunyai tunggakan cukai RM9,600. Tindakan sita terhadap harta diambil adalah menyamai jumlah tunggakan cukai taksiran premis,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Azhar berkata berlaku insiden apabila seorang pemilik premis menjual minumun keras enggan membayar tunggakan cukai taksiran malah mengugut mahu membuat laporan polis.

Azhar berkata, tindakan pemilik premis itu disifatkan sebagai ‘keras kepala’ kerana bukan sahaja enggan memberi kerjasama malah menghalang tugas penguat kuasa.

“Premis didapati mempunyai tunggakan sebanyak RM2,128 tetapi hari ini mereka hanya membayar RM1,000 selepas rundingan.

“Setelah keadaan kembali tenang, mereka berjanji untuk melangsaikan baki selebihnya pada keesokan hari tetapi sekiranya masih gagal, tindakan lanjut iaitu menyita harta alih premis bakal diambil,” katanya.

EZY


Pengarang :