NASIONAL

Harapan generasi muda: Pendidikan, Pekerjaan dan Perumahan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Pemuda Pakatan Harapan akan mengadakan Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan dengan menggariskan beberapa tawaran kepada anak muda yang memfokuskan isu pendidikan, pekerjaan dan perumahan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tawaran itu memberi kesan lebih besar untuk menarik sokongan rakyat khususnya generasi muda.

hutang“Tiga perkara itu lebih penting untuk masa depan anak muda berbanding meningkatkan kemarahan rakyat dengan isu-isu skandal dan rasuah yang membelenggu negara pada hari ini.

“Kita sedar kehidupan anak muda kini penuh dengan pelbagai cabaran di peringkat awal kehidupan lagi, hutang keliling pinggang seperti PTPTN, kenderaan, peribadi dan kad kredit.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menggubal dasar yang boleh mengatasi masalah keberhutangan ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, menjadi harapan besar pihaknya membantu menyelesaikan tiga isu yang selama ini membelit kehidupan anak muda.

rumah-selangorku-pembeli“Pendidikan percuma berkualiti, pekerjaan dengan gaji setimpal dan perumahan mampu milik yang selesa untuk semua adalah impian semua generasi muda, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pekerjaan yang ada tidak seberapa, ramai juga sukar mendapat pekerjaan. Apa penyelesaian yang ditawarkan Perdana Menteri? Menjadi pemandu Uber,” katanya.

Tambahnya lagi, kesenjangan ekonomi yang melebar menjadi realiti bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.

“Kejayaan tokoh-tokoh politik yang dilihat luar dari arus perdana, sama ada Bernie Sanders dan Donald Trump di Amerika, mahupun Jeremy Corbyn di Britain, menjadi bukti bahawa hanya mereka yang mampu menggamit imaginasi rakyat dalam realiti baru ini yang mampu bersaing.

“Kita tidak boleh ketinggalan,” katanya

 


Pengarang :