Selangorkini
SELANGOR

Iklan haram: Bidang kuasa PBT terhad

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menangkap pesalah yang menaikkan iklan haram ‘ah long’ di negeri itu.

Sebaliknya, Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, kuasa lebih besar terletak di bawah agensi Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, PBT tetap melaksanakan beberapa langkah mengikut bidang kuasa sedia ada dalam memerangi isu terbabit.

“PBT boleh membatalkan lesen perniagaan khususnya syarikat percetakan jika didapati mengambil tempahan mencetak iklan ‘ah long’.

“Tindakan lain termasuk penguatkuasaan Peruntukan 7 Undang-undang Kecil Iklan 2007 dengan mengenakan kompaun RM600 dan denda tidak lebih RM2,000 jika disabitkan kesalahan,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berhubung kekangan dihadapi Kerajaan Negeri dalam memerangi iklan haram.

Pada masa sama, Hian Wah berkata, PBT turut melaksanakan operasi iklan haram dua kali sehari, pada awal pagi dan petang.

“Selain itu, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan bukan kerajaan (NGO) turut dijalankan,” katanya.

Sehingga September lalu, 631,240 iklan haram diturunkan PBT dan tertinggi oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan 188,234 unit.

-AA-


Pengarang :