Selangorkini
SELANGOR

Isu Splash: Tidak hadir DNS, jejas peluang Khalid beri penjelasan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 NOV: Ketidakhadiran mantan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) menjejaskan peluangnya memberi penjelasan mengenai isu pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

Speaker DNS, Hannah Yeoh, berkata seharusnya Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang itu mengambil peluang berbuat demikian ketika Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyertai perbahasan dalam sesi penggulungan berhubung isu berkenaan.

“Ketika Kerajaan Negeri menjawab masa itu tetapi Abdul Khalid tidak hadir.

“Saya tidak boleh tiba-tiba beri ruang kepada ADN yang tidak hadir untuk memberi penjelasan.

img_20161110_184234_496“Itu sebabnya ADN Kota Anggerik (Dr Yaakob Sapari) kena marah (bila tidak hadir) dengan Exco dan mereka tidak pilih kasih. ADN Pakatan pun kena marah kerana Exco telah jawab banyak kali,” katanya dalam sidang media di lobi DNS di sini, semalam.

Beliau berkata, pejabatnya dan pejabat DNS juga tidak menerima surat permohonan rasmi daripada Abdul Khalid berhubung perkara itu seperti mana dinyatakan pihaknya.

“Difahamkan pegawai beliau ada menghubungi pegawai DNS bertanya sama ada terdapat ruang untuknya datang menjelaskan perkara itu tetapi ini bukan surat rasmi.

“Saya memang tidak terima surat tetapi walaupun saya terima, saya tidak akan benarkan kerana peluang untuk memberi penjelasan tidak diambil ketika kerajaan menjawab dalam sesi penggulungan,” katanya.

Dalam sidang DNS, Mohamed Azmin mendedahkan Abdul Khalid membuat tawaran RM2.97 bilion bagi pengambilalihan Splash dan ia dipersetujui syarikat konsesi berkenaan.

Tawaran terbabit, katanya, ia adalah berbeza dengan nilai tawaran RM250 juta seperti mana dinyatakan ADN Pelabuhan Klang itu.

Bagaimanapun, kenyataan Mohamed Azmin itu dinafikan Abdul Khalid sebaliknya mendakwa pentadbiran Kerajaan Negeri ketika ini menawarkan tawaran 10 kali ganda lebih tinggi daripada RM250 juta.

-nR-


Pengarang :