Jiwa besar peduli rakyat, belanjawan smart lebih kukuh tapi bajet ‘hensem’? | Selangorkini


Jiwa besar peduli rakyat, belanjawan smart lebih kukuh tapi bajet ‘hensem’?

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

Menghadapi situasi getir ekonomi global yang semakin mencabar adalah kesan langsung yang diterima rakyat dunia secara keseluruhannya, namun bagaimana kerajaan sesebuah negara atau negeri menterjemahkannya dalam usaha menjadikan beban itu dalam bentuk penjelmaan bantuan yang munasabah menjadi faktor utama teguhnya kepercayaan masyarakat di belakang pimpinan.

Hal itu dibuktikan melalui perbandingan Belanjawan 2017 Selangor dengan Bajet 2017 Persekutuan yang nampak signifikan berpihak kepada kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Lebih menarik apabila rakyat Malaysia dihadiahkan kenaikan harga minyak untuk kesekian kalinya selepas beberapa hari Najib mengumumkan bajet seakan ‘melepaskan batuk di tangga’ dengan beberapa inisiatif untuk bidang penting negara seperti kesihatan dan pendidikan dipotong.

Najib tak endah derita rakyat 

Ketidakpuasan hati selain suara lantang yang jelas menampakkan rasa ‘tidak rela’ Najib terus menjadi orang nombor satu negara seakan tidak diendahkan apabila bajet yang dibentangkan itu terus menghimpit dan memakan rakyat saban tahun sejak Ahli Parlimen Pekan itu memegang tampuk kepimpinan negara.

belanjawan-selangor-2017-1Berbanding Mohamed Azmin yang menggali setiap aspek untuk membantu rakyat terutama golongan miskin dan sederhana tanpa mengira kaum apabila ramai yang menzahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan belanjawan kali ini apabila terus memperlihatkan penambahbaikan serta kemudahan mencakupi semua peringkat usia.

Kedudukan kewangan negeri juga berada pada tahap lebihan RM351.38 juta sehingga 14 Oktober lalu, bahkan kutipan hasil negeri sudah mencecah 96.9 peratus, sementara belanja pembangunan berada di tahap 60 peratus, manakala belanja mengurus pula 77.1 peratus.

Kepimpinan negeri di bawah Mohamed Azmin juga terus memperlihatkan kesepaduan apabila rizab negeri berada pada tahap RM3.62 bilion untuk tempoh sama.

Kejayaan itu, sekali gus memperlihatkan kemampuan Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa itu memacu kemajuan negeri dengan dokongan padu bukan sahaja barisan kepimpinan beliau tetapi rakyat Selangor secara amnya.

Azmin tekad bantu mahasiswa

Antara sektor diberi penekanan oleh Azmin yang seakan dipandang enteng oleh Najib adalah pengajian tinggi dan pembangunan wanita yang terus mendapat respon positif rakyat negeri termaju itu.

kuisUmum mempertikai keputusan Najib memotong peruntukan sektor pengajian tinggi dari RM13.38 bilion tahun ini kepada RM12.13 bilion, bagi tahun 2017.

Malah, keputusan Najib itu menyebabkan peruntukan bagi sektor pengajian tinggi mengalami penurunan sembilan peratus, sekali gus menyebabkan majoriti universiti mengalami pengurangan peruntukan termasuk IPTA di Selangor yang mengalami pemotongan antara 17 hingga 23 peratus.

Di saat ramai pihak terutama golongan mahasiswa mengeluh, Mohamed Azmin sekali lagi tampil mengeluarkan inisiatif bagi membantu anak jati negeri itu apabila mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi membiayai pengajian anak Selangor di UIAM, UKM, UPM dan UiTM menerusi Program Peduli Siswa.

Lebih menarik apabila program itu menawarkan pinjaman pelajaran dalam bentuk boleh ubah berdasarkan prestasi kecemerlangan akademik, bahkan ia dianggap sebagai sokongan Kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih ramai cendiakawan dan individu berkemahiran dalam memacu ekonomi negeri juga negara, pada masa depan.

Wanita terus dihargai

Bagi pembangunan wanita pula, Kerajaan Negeri bakal menubuhkan Institut Wanita Berdaya sebagai badan pemikir atau ‘think tank’ khusus untuk merencana dasar dan inisiatif baru yang lebih progresif demi memartabatkan wanita di Selangor membabitkan peruntukan awal RM1 juta.

wanitaSelain itu, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk meneruskan Program Mammogram Selangor dengan peruntukan RM1 juta bagi tahun 2017 dan mensasarkan 5,000 wanita akan mendapat perkhidmatan berkenaan ketika Putrajaya menghapuskan peruntukan program itu.

Mengikut statistik, pelaksanaan Skim Kesihatan Wanita menerusi Program Mammogram Selangor berjaya memberikan perkhidmatan kepada 22,505 wanita, sejak tahun 2008.

Kekal cukai taksiran

cukaiSelain itu, Mohamed Azmin sekali lagi tampil menyelamatkan rakyat negeri penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu apabila terus menyantuni pemilik rumah kos rendah selain penduduk kampung tradisi, kampung baru dan kampung bagan dengan pengumuman pengekalan pengecualian cukai taksiran, bahkan peniaga kecil juga turut mendapat perhatian dengan menikmati pengecualian fi lesen perniagaan.

Pengecualian yang memberi impak kewangan kepada Kerajaan Negeri iaitu RM62 juta pada tahun lalu akan dilaksanakan serta-merta berkuatkuasa, pada 1 Januari 2017.

Malah, Mohamed Azmin bersikap pukul rata apabila turut memberikan imbuhan sewajarnya kepada Ahli Parlimen juga Ahli Dewan Negeri Selangor di pihak pembangkang, bahkan elaun masing-masing dinaikkan kepada RM300,000 dan RM200,000 setahun.

najibBerbanding Najib, yang tidak sudah mencari pasal dengan pembangkang di Dewan Rakyat apabila memprovokasi mereka ketika pembentangan Bajet 2017 walaupun apa yang diperkatakan itu seakan cuba menutup kelemahan sendiri.

Maka, tidak hairanlah apabila ramai netizen menaikkan di status media sosial masing-masing bahawa Najib hanya membentangkan ‘Bajet Hensem’ dengan warna pakaian yang nampak lebih menyerlah berbanding kandungan bajet berkenaan.

 

# Nurul Farina Nazlan adalah Pengarang SelangorKini

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next