Selangorkini
NASIONAL

Kenapa Suu Kyi diam bila Rohingya dibunuh?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 NOV: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengecam pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang berdiam diri terhadap kekejaman ke atas penduduk Rohingya di negara itu.

Katanya, kegagalan Suu Kyi bersuara bagi etnik yang teraniaya itu adalah mengaibkan, sekali gus dianggap penghinaan kepada hadiah Nobel yang dianugerahkan kepadanya.

“Walaupun selepas kejadian terbaru menyebabkan ratusan terbunuh di wilayah Rakhine, Suu Kyi terus berdiam diri.

“Apatah lagi selepas partinya mengusung nama ‘demokrat’ berjaya meraih kemenangan begitu besar tahun lalu bagi menafikan kekuasaan pentadbiran tentera lebih dua dekad lampau,” katanya dalam kenyataan.

Dilaporkan hampir 100 orang terbunuh, manakala lebih 300,000 penduduk Rohingya melarikan diri dalam keganasan itu, sekali gus direkodkan sebagai insiden terburuk sejak 2012.

Malahan, Pertubuhan Human Rights Watch melaporkan gambar satelit menunjukkan perkampungan Rohingya turut dibakar.

Kit Siang berkata, kerajaan pimpinan Suu Kyi perlu membuka jalan bantuan kemanusiaan untuk mereka yang masih terperangkap di wilayah bergolak itu.

limkit siang-markshortKatanya, tindakan itu harus dilakukan walaupun beliau tidak mempunyai kemampuan dan keazaman politik untuk menghentikan pembersihan etnik.

“Suu Kyi yang pernah dinobatkan Hadiah Keamanan Nobel dan dipuji sebagai wira demokrasi khususnya di Barat tidak boleh terus berdiam diri berhadapan penindasan zaman berzaman ke atas rakyat negaranya.

“Suu Kyi tidak boleh terus memilih untuk tidak peduli, apatah lagi enggan menyebut perkataan ‘Rohingnya’ dan memilih untuk merujuk etnik terbabit sebagai ‘Bengali’,” katanya.

Kit Siang turut menyifatkan sikap Suu Kyi itu tidak mencerminkan seorang pemimpin yang diharapkan untuk membawa keamanan kepada negaranya, apatah lagi sebagai seorang pemenang hadiah Nobel.

Pada masa sama, katanya, pergolakan di Myanmar harus menjadi pengajaran kepada Malaysia bahawa pertelingkahan agama dan kaum boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat.

“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk menolak politik perkauman sempit yang bermodalkan ekstremisme agama dan ketuanan keturunan supaya negara tidak terjerumus ke kancah keganasan,” katanya.

-AA-


Pengarang :