SELANGOR

Kos bina ORS RM600,000, RM17 juta lagi bagi 2017

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 18 NOV: Bagi memastikan bekalan air di Lembah Klang sentiasa mencukupi, Kerajaan Negeri membelanjakan RM600,000 bagi membolehkan projek ‘Off River Storage’ (ORS) dijalankan di Kolam Kampung Hang Tuah.

Pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Nor Zamri Sondor, berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukan RM17 juta kepada LUAS untuk menguruskan kolam-kolam terbabit.

“Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Selangor memperuntukan RM600,000 untuk membina projek kali ini di mana merangkumi pembinaan projek mendalamkan kolam dan membina kunci air yang memakan masa kurang sebulan untuk disiapkan.

mugshot“LUAS juga mengucapkan terima kasih kerana keyakinan yang diberikan Kerajaan Negeri apabila pada tahun hadapan RM17 juta diperuntukan untuk menguruskan kolam-kolam ini merangkumi pemasangan dan penyewaan pam-pam, operasinya, penyelenggaraan alur-alur, pembinaan muka sauk dan operasi pembenihan awan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Perasmian ORS Kampung Hang Tuah di Bestari Jaya, semalam.

Jelasnya, peruntukan RM17 juta bagi tahun hadapan itu meningkat RM1 juta, berbanding RM16 juta peruntukan yang diterima pada tahun ini.

Katanya, selain menguruskan air yang terdapat di sungai, LUAS turut memainkan peranan menguruskan sumber air hujan dengan melaksanakan kerja-kerja pembenihan awan.

“Pada tahun ini kita membelanjakan lebih kurang RM4 juta untuk pembenihan awan. Kita bukan sahaja menguruskan air di sungai sahaja tetapi juga di atas,” katanya lagi.

Katanya lagi, ini membuktikan Kerajaan Negeri Selangor tidak hanya duduk diam tetapi sentiasa menjadikan isu bekalan air kepada pengguna sebagai keutamaan dengan menjalankan pelbagai ikhtiar bagi menambah sumber bekalan air di negeri itu.

-nR-


Pengarang :