Selangorkini
SELANGOR

LUAS perlu komprehensif lindungi kawasan tadahan air

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) perlu lebih komprehensif menyediakan langkah berkesan memastikan kawasan tadahan air dilindungi sebagai jaminan kuantiti dan kualiti kebersihan sumber air negeri.

Demikian cadangan dinyatakan Ketua Audit Negara, pada pembentangan Laporan Audit Negara 2015 Siri 2 Selangor menerusi kerja pengauditan bermula Oktober 2015 sehingga Mei lalu.

“Bidang kuasa LUAS perlu diperkasakan sebagai ‘lead agency’ untuk menyelaras dan mengurus semua aktiviti pembangunan di dalam kawasan tadahan juga lembangan sungai.

“Tujuannya bagi mengawal kuantiti dan kualiti sumber air negeri selain LUAS perlu memastikan program pewartaan kawasan tadahan air dilaksanakan secara komprehensif memastikan kawasan tadahan air dilindungi,” kata laporan itu.

LUAS dipertanggungjawabkan untuk mengurus sumber air dan sungai di Selangor selaras Enakmen LUAS 1999.

Dalam pada itu, laporan Ketua Audit Negara turut mengenal pasti wujud pelaksanaan aktiviti dan gerak kerja yang memerlukan penambahbaikan.

Ia termasuk insiden henti tugas ekoran berlakunya pencemaran menyebabkan loji rawatan air terpaksa dihentikan.

Selain itu, laporan turut mendapati wujud kelemahan pengurusan lesen, kutipan hasil, pemantauan dan penghutang terhadap pemegang lesen yang belum dilaksanakan secara komprehensif dan berkesan.

-AA-


Pengarang :