Selangorkini
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSJ komited terap gaya hidup sihat

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) terus komited menganjurkan Kayuhan Hidup Sihat MPSJ 2016 bagi siri ke-3 sebagai usaha berterusan menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.

Pegawai Komunikasi Korporat, Muhammad Azli Miswan berkata, program Kayuhan Hidup Sihat yang dianjurkan sejak tahun 2011 itu merupakan landasan kepada komuniti
untuk melibatkan diri bersama MPSJ dalam merealisasikan misi iaitu ‘Menjadikan Perbandaran MPSJ Sejahtera, Bestari dan Dinamik’.

“Objektif utama kita adalah untuk menanam cara kehidupan yang sihat melalui aktiviti sukan ringan seperti kayuhan basikal secara berkumpulan dan berkeluarga.

img-20161120-wa0076“Program ini juga memberikan landasan kepada komuniti dan MSJ untuk bertemu juga beramah mesra di samping menjalankan aktiviti riadah,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, 700 peserta yang hadir menyertai kayuhan jarak sejauh 24 kilometer bertempat di The Summit Subang USJ, Persiaran Kewajipan, USJ 1, Subang Jaya, semalam.

Turut juga diselitkan aktiviti sampingan antaranya senamrobik, jualan barangan basikal dan cabutan bertuah turut diadakan serta pelbagai hadiah menarik disediakan.

Program itu juga merupakan kerjasama MPSJ bersama Pusat Membeli-Belah Summit USJ, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jawatankuasa Penduduk (JKP) Subang Jaya, Rukun Tetangga Subang Jaya, KPMC Specialist Centre Puchong, Lerun Industries Sdn Bhd dan SJ Echo.

-NFN-


Pengarang :