SELANGOR

ORS bekal 1,300 JLH air, mampu elak bekalan tercemar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 18 NOV: Kaedah ‘Off River Storage’ atau ORS yang digunakan di Kolam Kampung Hang Tuah mampu membekalkan 1,300 juta liter sehari (JLH) memenuhi keperluan pengguna di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Nor Zamri Sondor berkata, kaedah itu juga mampu mengelakkan air sungai tercemar memasuki tujuh kolam terbabit.

“Pada tahun ini sahaja kita telah gunakan sebanyak 33 buah pam dan di kolam ini sahaja dua pam dan di Kolam Hang Tuah 5 ada satu lagi dan boleh mengeluarkan air sebanyak 1,300 JLH.

“Hari ini kita berjaya menyiapkan ‘intake’ bagi membolehkan lebihan air Sungai Selangor masuk ke kolam ini dan seterusnya turut memenuhkan kolam-kolam lain yang bersambung dengan kolam ini.

mugshot“Menerusi ORS, sekiranya berlaku pencemaran, kita boleh tutup pintu itu untuk mengelakkan pencemaran masuk sekali gus menjamin air lebih selamat dan bersih,” kata Nor Zamri kepada SelangorKini pada Majlis Perasmian ORS Kampung Hang Tuah di Bestari Jaya, semalam.

Jelasnya, walaupun ORS mampu membekalkan air sebanyak 1,300 JLH tetapi pada masa ini kerja mengalirkan air melibatkan Kolam Hang Tuah dijalankan pada paras optima, 800 JLH dan ditingkatkan mengikut keperluan.

Katanya, ORS turut berperanan mengurangkan kebergantungan kepada empangan terutama apabila menjelang musim kemarau panjang.

“Apabila musim kering kita boleh pam air kolam ke sungai dan tidak lagi bergantung kepada empangan sepenuhnya seperti sekarang kita bergantung sepenuhnya kepada empangan Sungai Selangor dan Sungai Tengi. Contohnya pada 2014 paras air di empangan semakin susut dan memberi masalah untuk membekalkan air,” katanya lagi.

-nR-


Pengarang :