Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Pekerja kontrak 15 tahun berpeluang diserap ke jawatan tetap

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 7 NOV: Penjawat awam berstatus kontrak berpeluang diserap ke jawatan tetap selepas tempoh perkhidmatan mereka melebihi 15 tahun.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak sumber manusia di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sudah berurusan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPS) untuk mendapatkan kelulusan jawatan tetap bagi pekerja kontrak.

“Untuk menyerap jawatan kontrak ini memang menjadi satu agenda Kerajaan Negeri, namun ia tidak tertakluk kepada kelulusan.

“Namun, pada awal tahun ini memang kita mendapat kelulusan bagi mereka yang berkhidmat lebih 15 tahun akan diserap ke jawatan tetap yang ditentukan JPA.

img_5521-800x533“Selain itu, bagi penjawat awam berstatus kontrak selain di SUK, turut akan di semak struktur jawatan yang ada di pihak berkuasa tempatan masing-masing,” katanya ketika Sidang DUN, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADN Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkaitan status pekerja kontrak penjawat awam.

Katanya, Kerajaan Negeri turut mengambil kira kenaikan pemberian bonus dan elaun kepada penjawat awam berasaskan peningkatan produktiviti.

“Berhubung perkara dibangkit berkaitan pembayaran SOCSO dewan negeri, saya percaya pendirian yang diambil Kerajaan Negeri sama ada memberikan bonus juga kenaikan elaun berasaskan satu prinsip yang jelas iaitu berkaitan dengan produktiviti yangg diberi.

“Sebab itu, kenaikan elaun yang kita berikan kerana mereka bekerja dengan kuat dan gigih bagi membantu meningkatkan hasil negeri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, cadangan ADN Sri Andalas, Xavier Jayakumar untuk menaikkan elaun setiap tiga tahun akan turut dikaji bagi melihat keupayaan kewangan negeri.

“Sudah tentu untuk menaikkan elaun juga bonus, isu produktiviti akan turut dilihat untuk kita pertimbangkan cuma tempoh setiap tiga atau lima tahun itu daripada sudut ekonomi juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :