Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Shuhaimi: Andaian Zein berkaitan SPLASH dangkal

SHAH ALAM, 21 NOV: Andaian Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma kononnya rakyat bakal menanggung tarif air RM1,200 setahun sekiranya Kerajaan Negeri tetap dengan keputusan mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan tawaran RM2.7 bilion adalah jauh meleset.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, andaian itu juga jelas berbentuk tohmahan bertujuan memburuk-burukan Kerajaan Negeri sedangkan sehingga kini ia masih di peringkat perundingan.

“Menjadi pendirian Kerajaan Negeri memastikan pengambilalihan SPALSH menepati terma keadilan untuk semua pihak, akauntibiliti, telus dan tidak membebankan rakyat.

shuhaimi“Kerajaan Negeri sentiasa teliti dalam isu penstrukturan industri air termasuk mengambil pendapat pelbagai pihak selain menubuhkan Panel Penilai Air Selangor (PANEL) bagi meneliti perjalanan penstrukturan air dilakukan secara adil dan mampu memberikan kesan bermanfaat kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Shuhaimi turut mempertikai teori dikemukakan Zein selain menyifatkannya sebagai tidak munasabah dalam mengulas isu pengambilalihan SPLASH.

“Saya harap andaian Ketua Penerangan UMNO Selangor itu bukanlah dibuat di bawah apa-apa pengaruh bahan terlarang dan mengkhayalkan,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda itu juga berkata, integriti serta transparensi Kerajaan Negeridengan jelas memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat dalam apa jua isu berbangkit.

“Program Air Percuma jauh lebih menguntungkan majoriti penduduk ditambah dengan program peduli rakyat seperti Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Bas Percuma, Peduli Sihat dan Pendidikan Percuma Universiti peringkat asas.

“Maka kita boleh bandingkan dengan bantuan BRIM Kerajaan Persekutuan yang hanya berjumlah RM2.60 sehari berbanding bebanan teruk ditanggung rakyat akibat daripada kenaikan harga barang dapur, GST dan harga minyak,” katanya.

-nR-


Pengarang :