Selangorkini
SELANGOR

ADN Subang Jaya sumbang RM10,000, tingkat fasiliti taman rekreasi USJ 13

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 18 DIS : Peruntukan RM10,000 disalurkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh bagi kerja pembaikan Taman Rekreasi di USJ 13.

Hannah berkata, bantuan tersebut meliputi penambahan dua alatan kemudahan bersenam untuk kegunaan dan manfaat aktiviti riadah penduduk setempat.

“Memandangkan kawasan ini merupakan tempat riadah yang cukup baik untuk masyarakat, pejabat DUN Subang Jaya bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan ini bagi tujuan pembaikan fasiliti di sini.

“Proses ini merupakan sebahagian daripada inisiatif awal pejabat DUN bersama Jawatankuasa Penduduk menambahbaik fasiliti ini demi kebaikan masyarakat USJ 13.

“Penambahbaikan dan kemudahan ini diharap boleh digunakan sebaik mungkin khususnya bagi warga emas untuk bersenam di kawasan persekitaran taman,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media perasmian kemudahan dua buah alatan senaman jenis ‘Sky Walker’ di sini, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, beliau berkata pihaknya komited memastikan kawasan berkenaan terus dijaga demi kelangsungan manfaat penduduk setempat.

Katanya, ini termasuklah inisiaitif diwujudkan Rukun Tertangga dan Polis dengan menjalankan rondaan bagi memastikan kesejahteraan penempatan USJ 13 terus terjamin.

“Pejabat DUN ada menerima aduan daripada penduduk bahawa wujudnya masalah sosial seperti budaya lepak, aktiviti dadah, dan pembuangan sampah seperti botol arak di kawasan taman.

“Saya mengambil serius isu ini dan atas kebimbangan itu pihak Rukun Tetangga dan Pejabat DUN telah membuat laporan polis supaya budaya kurang baik ini dapat dicegah,” katanya.

=EZY=


Pengarang :