Selangorkini
NASIONAL

Demontrasi jalanan seperti marathon, bukan lari pecut

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 DIS: Menyuarakan bantahan melalui demontrasi aman adalah satu kerja dan tanggungjawab berterusan yang tidak boleh dicapai dengan sekelip mata.

Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Pusat (DAPSY), Dyana Sofya Mohd Daud berkata, hal itu dapat dilihat apabila hanya satu daripada lapan tuntutan asal BERSIH 2.0 dilaksanakan Kerajaan Persekutuan sehingga hari ini.

“Sehingga kini hanya dakwat kekal sahaja yang dilaksanakan, sekali gus memberi petanda perhimpunan aman anjuran BERSIH memberi kesan kepada kerajaan.

“Bagaimanapun, tujuh lagi tuntutan dan lima tuntutan baru masih tidak diendahkan. Ini bermakna perjuangan masih panjang. Menyuarakan bantahan melalui demontrasi jalanan adalah satu marathon yang panjang dan bukanlah larian pecut,” katanya.

Katanya, perkara itu membuktikan kerajaan merasai tekanan masyarakat yang menuntut pilihan raya bersih dan adil sebelum melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya.

Pada masa sama, Dyana berkata, desakan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam beberapa siri demontrasi turut menyebabkan akta itu dimansuhkan.

-AA-


Pengarang :