Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

FOMCA: Label bungkusan makanan kandungi nitrogen

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 DIS: Bungkusan makanan yang mengandungi cecair nitrogen perlu dilabelkan bagi mengelakkan pengguna keliru, kata Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman.

Beliau berkata, tidak timbul masalah sekiranya pengeluar atau pengendali makanan mengendalikan produk itu dengan cara yang betul.

“Bahan itu tidak berbahaya sekiranya pengeluar makanan, penyedia dan pengguna mengendalikan produk dengan cara yang betul.

“Sepatutnya, perlu ada label menunjukkan cara yang sesuai menggunakannya juga untuk mengelakkan pengguna keliru,” katanya ketika dihubungi.

yusuf fomcaYusof berkata, label itu perlu menunjukkan cara mengendalikan produk yang mengandungi cecair nitrogen.

“Lebih baik jika jurujual makanan itu dapat menunjukkan cara penggunaan dengan betul. Jadi, ini tidak akan mendatangkan bahaya kepada pengguna,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penggunaan cecair nitrogen dalam makanan didakwa menyebabkan kecederaan pada tangan seorang remaja selepas memakan biskut ‘Dragon Breath’.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, pengeluar dan penyedia makanan perlu memastikan cecair itu meruap sepenuhnya sebelum dijual bagi mengelakkan kelecuran atau radang dingin (frostbite).

Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penggunaan bahan pembeku itu dalam makanan diharamkan bagi melindungi pengguna terutama kanak-kanak.

Pengguna boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM.

-NFN-


Pengarang :