Selangorkini
NASIONAL

FOMCA: Peniaga jangan ambil kesempatan naikkan harga santan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 DIS: Peniaga di seluruh negara diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga santan ekoran terdapat peningkatan harga itu di pasaran.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengguna perlu membuat laporan atau aduan kepada pihak terbabit supaya peniaga yang tidak bertanggungjawab boleh dikenakan tindakan.

“Kenaikan ini membabitkan sesetengah kawasan, namun terdapat peniaga yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan lebih tinggi.

“Bagaimanapun, jika kenaikan itu tidak berlaku di keseluruhan tempat dan hanya membabitkan beberapa kawasan tertentu, ia mungkin kerana tindakan peniaga yang mengambil kesempatan.

“Dalam hal ini, peniaga perlu bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Mohd Yusof turut mencadangkan pengguna membuat perbandingan harga sebelum melakukan pembelian.

YUSOF FOMCABagaimanapun, beliau berkata, pihaknya belum menerima aduan mengenai kenaikan harga santan, setakat ini.

“Jika semua peniaga mengenakan harga tinggi, pengguna mungkin boleh mencari alternatif lain dengan mengantikan santan segera atau susu sebagai gantian bahan itu dalam masakan,” katanya.

Sebelum ini, viral di Facebook apabila terdapat kain rentang memaklumkan mulai 12 Disember ini, santan kelapa di daerah Rembau akan dijual pada harga RM11 sekilogram (RM11/kg) hingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna.

Sinar Harian turut melaporkan rata-rata peniaga di Kedah, Selangor, Pahang dan Kelantan mengalami kenaikan harga sehingga mencecah RM12 sekilogram.

-AA-


Pengarang :