Selangorkini
SELANGOR

Gangguan bekalan air di beberapa kawasan

CYBERJAYA, 15 DIS: Kawasan Petaling, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan air sementara ekoran penyenggaraan juga pemasangan sistem perlindungan arka di pencawang masuk utama Bukit Badong, Hulu Selangor, pada 19 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Dato’ Mohd Ridhuan Ismail berkata, kerja dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dijadualkan setiap tiga tahun untuk mencegah kerosakan atau gangguan bekalan elektrik tidak terancang di loji rawatan air (LRA).

Katanya, kerja henti tugas itu akan bermula pada jam 6 pagi hingga 10 malam, sekali gus menjejaskan pengoperasian di LRA utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang.

“Loji terlibat adalah LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA SSP2 dan LRA SSP3 yang membekalkan air terawat 2,800 Juta Liter Sehari (JLH) kepada pengguna.

“Henti tugas sementara LRA Sungai Selangor ini akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 714,628 akaun atau 4,060,250 pengguna di 804 kawasan,” katanya.

Mohd Ridhuan berkata, bekalan air dijangka akan pulih secara berperingkat selepas kerja penyenggaraan sistem bekalan elektrik selesai dilaksanakan dan LRA beroperasi semula.

Justeru, katanya, pengguna dinasihatkan untuk menyimpan air mencukupi bagi menghadapi gangguan bekalan air sementara itu.

“Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lebih terperinci berkenaan gangguan bekalan air ini boleh merujuk kepada laman sesawang www.syabas.com.my,” katanya.

-AA-


Pengarang :