Interchange dimensi baru dunia seram | Selangorkini


Interchange dimensi baru dunia seram

OLEH SYAZWANI SUFIAN

Interchange sebuah filem seram supernatural yang membawa kelainan berbanding filem lain yang mungkin pernah ditayangkan di Malaysia.

Filem arahan kedua Dain Iskandar Said selepas Bunohan diterbitkan bersama penerbit Indonesia, Cinesurya dan dibiayai Sonneratia Capital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).


Penampilan pelakon hebat gandingan Malaysia dan Indonesia menyentuh pelbagai etnik dan gabungan dua budaya antaranya Shaheizy Sam, Iedil Putra, Nadiya Nissa, Alvin Wong serta Chew Kin Wah selain Nicholas Saputra juga Prisia Nasution yang turut membintangi filem itu.

Mengintip wanita misteri

interchange2Interchange berkisar tentang seorang detektif, Man (Shaheizy Sam) bersama rakannya Adam (Iedil Putra) seorang jurufoto forensik, terlibat dalam satu siri kes pembunuhan ngeri di sebuah bandar yang penuh dengan rahsia.

Kes kematian yang berlaku lima bulan lalu amat mengerikan dan telah memberi igauan kepada Adam, bahkan sejak peristiwa itu, Adam mula menyendiri serta menghindari dunia nyata.

Bagaimanapun, Adam masih mengambil foto dan menerusi lensa kameranya, Adam mengintip Iva (Prisia Nasution) iaitu seorang wanita misteri berasal dari Borneo yang baru sahaja berpindah ke pangsapuri bertentangan.

Bukan sekadar mengintip, Adam turut mengambil foto Iva sehingga beliau mula terlibat dalam kisah misteri gadis Borneo itu.

Bermula daripada itulah Adam diselinap masuk ke dalam dunia penuh misteri Iva.

Sementara itu, pada waktu yang sama berlaku kes pembunuhan yang cukup mengerikan dan jarang sekali berlaku menyebabkan Man mula menyelidik dengan lebih mendalam bersama Adam serta dektektif lain.

Yang lebih misteri apabila Man menemui serpihan kaca filem di tempat pembunuhan berlaku.

Sedikit demi sedikit, Man mula berjaya memecah kebuntuan kes pembunuhan yang berlaku dengan menyiasat ke kedai jualan barangan antik yang turut menyimpan filem foto berbentuk kaca itu.

Terbongkar kisah gadis misteri dan burung

Akhirnya, bermulalah konflik dengan pelbagai kejadian mistik, ngeri dan kepercayaan dahulu kala yang menghantui mereka, bahkan lama-kelamaan Adam juga Iva mulai rapat.

Ketika menyelesaikan kes pembunuhan yang berlaku bersama Man, Adam mula menyedari ia mungkin berkait dengan Iva dan kisah mistik yang berlaku lebih seribu tahun dulu.

interchangeTatkala Adam menyedari Iva adalah wanita di dalam foto seribu tahun dulu, beliau dibawa masuk ke dalam dunia puak asli Iva dengan kepecayaan mereka iaitu terperangkap di dalam foto kaca yang dijumpai di tempat pembunuhan tersebut.

Adam juga turut menyedari Belian lakonon Nicholas Saputra merupakan seorang lelaki berpewatakan burung berkait rapat dengan apa yang terjadi antara kes pembunuhan dan kisah puak asli Iva.

Pada masa sama, Man berjaya mengorek kes pembunuhan yang berlaku dan akhirnya berhadapan dengan pelbagai kejadian mistik, ngeri dan dipenuhi dengan kepercayaan dahulu kala yang kembali hidup.

Tapi dengan dua kes pembunuhan ‘ritual’ yang ‘dirakamkan’ Dain Said sebenarnya ia dilihat bagaikan satu ritual bunuh diri dengan rela untuk kembali ke tempat asal mereka.

Latar belakang Interchange

Filem ini mula tercetus apabila pengarah Interchange pernah ternampak sekeping gambar dengan kapsyen : perempuan mencuci badan bagi membuang bala atau kepercayaan mereka akan menimpa musibah selepas gambarnya dirakam.

Dain berkata, Interchange adalah filem yang agak perlahan permulaannya, namun ia penuh dengan misteri dan tanda tanya dengan kepercayaan zaman dahulu kala.

“Setiap kisah yang ingin disampaikan dan watak dilakonkan akan berkembang dengan sendiri dan bakal difahami satu persatu .

“Filem ini juga lebih terdedah kepada alam semula jadi yang perlu kita hargai,” katanya ketika sidang media karpet merah filem Interchange di Pavilion, baru-baru ini.

Katanya, filem itu bukan sekadar sebuah penyiasatan misteri klise iaitu detektif yang akan selesaikan setiap kes tetapi ia terarah kepada rangkaian dan bantuan oleh Adam.

interchange1“Detektif hanyalah satu warna sahaja dan saya tidak mahu terlalu fokus kepada beliau. Tetapi nak fokus pada mistik dan kekuatan kaum tersebut,” katanya.

Belian lakonon Nicholas Saputra sebenarnya adalah watak penting dan penuh mistik, lakonan beliau yang kuat dan penuh karisma juga bakal membawakan penonton mengerti apa yang berlaku.

Beliau digambarkan sebagai tiada perasaan dengan jarinya bagaikan mempunyai satu jari burung di kiri kanannya serta mempunyai kekuatan luar biasa apabila bertarung dengan detektif Azman .

Interchange ke persada antarabangsa

Filem Interchange arahan Dain Iskandar Said mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas Festival Filem Locarno yang berpangkalan di Switzerland bakal menayangkan filem tersebut di festival yang berprestij itu.

Selain itu, difahamkan Interchange mendapat perhatian pengedar filem antarabangsa, Reel Suspects yang berpangkalan di Paris untuk diedarkan di pasaran dunia.

Malah, filem ini juga akan ditayangkan pada salah sebuah pasaran filem terbesar di dunia, Cannes Marché du Film.

-NFN-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next